SYDNEY, 5 FEB – Australia telah mengharamkan penggunaan DeepSeek dalam semua peranti kerajaan atas nasihat agensi keselamatan, kata seorang pegawai kanan hari ini, dengan menyatakan risiko privasi dan perisian berbahaya yang dibawa oleh program kecerdasan buatan (AI) dari China itu.
Chatbot DeepSeek yang dibangunkan oleh sebuah syarikat pemula yang berpangkalan di China, mengejutkan industri teknologi dan menjejaskan pasaran kewangan sejak dilancarkan bulan lalu.
Namun, semakin banyak negara termasuk Korea Selatan, Itali dan Perancis menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan dan amalan data aplikasi tersebut.
Australia mengambil langkah lebih tegas dengan mengharamkan sepenuhnya DeepSeek daripada digunakan dalam semua peranti kerajaan, menjadikannya antara tindakan paling keras terhadap chatbot China berkenaan.
“Ini adalah tindakan yang diambil kerajaan berdasarkan nasihat agensi keselamatan. Ia bukan langkah simbolik semata-mata,” kata Duta Keselamatan Siber Kerajaan, Andrew Charlton.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-5E-WEB-AFP_06022025.jpg)
“Kami tidak mahu sistem kerajaan terdedah kepada aplikasi seperti ini.”
Charlton memberitahu penyiar nasional ABC bahawa risiko termasuk maklumat yang dimuat naik ‘mungkin tidak disimpan secara peribadi’ dan aplikasi seperti DeepSeek ‘boleh mendedahkan pengguna kepada perisian berbahaya.
Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan pada malam kelmarin.
“Selepas mempertimbangkan analisis ancaman dan risiko, saya telah memutuskan bahawa penggunaan produk, aplikasi dan perkhidmatan web DeepSeek menimbulkan tahap risiko keselamatan yang tidak boleh diterima kepada Kerajaan Australia,” kata Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Stephanie Foster, dalam arahan itu.
Bermula hari ini, semua entiti Komanwel bukan korporat mesti “mengenal pasti dan mengeluarkan semua produk, aplikasi dan perkhidmatan web DeepSeek dalam semua sistem dan peranti mudah alih kerajaan Australia,” tambahnya.
Arahan tersebut juga mewajibkan ‘akses, penggunaan atau pemasangan produk DeepSeek’ disekat. – AFP