CANBERRA, 1 SEPT- Satu kajian rintis mendapati teknologi jaminan umur mampu melindungi golongan muda daripada kandungan tidak sesuai dalam talian menjelang pelaksanaan larangan media sosial untuk individu bawah 16 tahun di Australia.
Menteri Komunikasi Persekutuan, Anika Wells baru-baru ini telah mengumumkan laporan akhir Kajian Rintis Teknologi Jaminan Umur yang ditugaskan oleh kerajaan Australia pada November 2024 bagi menyokong undang-undang larangan media sosial berkenaan.
Kajian diketuai oleh badan British Age Check Certification Scheme, menilai lebih 60 teknologi daripada 48 penyedia dan menyimpulkan bahawa jaminan umur boleh dilaksanakan secara, “peribadi, cekap dan berkesan.”
Laporan akhir setebal 1,100 halaman itu menyatakan sistem yang diuji secara amnya selamat dan tiada ‘batasan teknologi ketara’ ditemukan yang boleh menghalang penggunaannya dalam memenuhi syarat kelayakan berasaskan umur.
Namun, ia memberi amaran bahawa persekitaran digital yang ‘cepat berubah’ bermakna sistem berkenaan tidak boleh dianggap sempurna.
Larangan media sosial pertama di dunia yang menyasarkan kanak-kanak bawah 16 tahun termasuk terhadap Facebook, TikTok dan YouTube dijadualkan berkuat kuasa Disember ini.
“Walaupun tiada satu kaedah yang seragam untuk jaminan umur, kajian ini menunjukkan terdapat banyak pilihan berkesan dan yang penting, privasi pengguna boleh dipelihara,” katanya.
Di bawah undang-undang larangan itu, syarikat media sosial yang gagal mengambil langkah mencukupi untuk menghalang akses bawah 16 tahun akan berdepan denda sehingga AS$32.3 juta.
Perdana Menteri Anthony Albanese pada Julai lalu berkata, “Australia akan menggunakan sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mendapatkan sokongan antarabangsa terhadap larangan media sosial terbabit”. – Bernama


