SYDNEY, 29 Jun – Undang-undang baru untuk mengawal campur tangan kerajaan asing di Australia telah diluluskan oleh parlimen sebelum beberapa pilihan raya kecil, di tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai campur tangan China dalam politik tempatan.
Canberra pada tahun lalu mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan pembaharuan kepada undang-undang pengintipan dan campur tangan asing, dengan China dipilih sebagai tumpuan utama. Agensi pengintipan Australia telah mengemukakan kebimbangan bahawa Beijing sedang campur tangan dalam institusi tempatan dan menggunakan sistem sumbangan politik untuk mendapatkan maklumat.
“Pengintipan dan campur tangan asing menimbulkan risiko besar kepada keselamatan dan pertahanan Australia,” kata kerajaan dalam satu kenyataan selepas undang-undang diluluskan oleh parlimen lewat semalam.
“Musuh asing bekerja secara aktif yang bercanggahan dengan kepentingan Australia menerusi pelbagai kaedah, termasuk mendapatkan maklumat sulit atau berusaha mempengaruhi keputusan proses demokratik Australia.” Perubahan termasuk memperkukuhkan kesalahan pengintipan sekarang dan kesalahan baru yang mensasarkan perbuatan terselindung, mengelirukan atau terancam oleh pihak asing yang berusaha mempengaruhi atau menggangu politik domestik. Individu atau entiti yang menjalankan aktiviti bagi pihak pihak asing juga diwajibkan mengisytiharkan hubungan mereka dalam satu tindakan yang bertujuan menjadikan sistem politik lebih telus. – AFP