Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia mahu gubal umur minimum di laman sosial

    SYDNEY, 10 SEPT – Australia akan melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial dengan had umur minimum setinggi 16 tahun, kata perdana menteri negara itu hari ini dengan ikrar untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada peranti mereka dan ‘keluar ke padang’.

    Undang-undang persekutuan untuk menjauhkan kanak-kanak daripada media sosial akan diperkenalkan tahun ini, kata Perdana Menteri Anthony Albanese, sambil menyifatkan impak laman web itu terhadap golongan muda sebagai ‘musibah’.

    Umur minimum untuk kanak-kanak melog masuk ke laman web seperti Facebook, Instagram dan TikTok belum diputuskan tetapi dijangka antara 14 dan 16 tahun, kata Albanese.

    Percubaan pengesahan umur akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang sebelum undang-undang diperkenalkan menjelang akhir tahun ini, kata pemimpin kiri tengah itu.

    “Saya mahu melihat kanak-kanak melepaskan peranti mereka dan keluar ke padang, kolam renang dan gelanggang tenis,” kata Albanese.

    “Kami mahu mereka mempunyai pengalaman sebenar dengan orang yang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial menyebabkan kemudaratan sosial,” katanya kepada penyiar nasional ABC.

    Dalam satu siri temu bual media mengenai rancangan itu, Albanese berkata adalah menjadi keutamaannya sendiri untuk menyekat media sosial bagi kanak-kanak di bawah 16 tahun. – AFP

    Kanak-kanak Australia disarankan supaya lebih bermain di luar. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda