Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia mengaku silap

    SYDNEY, 31 Jan – Australia telah gagal melakukan pemeriksaan asas sebelum melucutkan kewarganegaraan seseorang yang disyaki pejuang Islam IS, seorang pegawai kanan berkata semalam dalam pengakuan yang mungkin mengundang persoalan kesahan tindakan itu.

    Bulan lalu Australia telah melucutkan kewarganegaraan Neil Prakash selepas mendakwa dia adalah warga Fiji, yang mengundang penafian keras daripada pihak berkuasa di Suva dan pertikaian diplomatik yang mengaibkan.

    Prakash dituduh menjadi anggota kumpulan pejuang jihad IS dan dikenal pasti sebagai warga Australia ke-12 mempunyai dua kerakyatan yang kehilangan pasportnya ekoran mempunyai hubungan dengan pengganasan. Dia pada masa ini berada di Turki berdepan tuduhan menyertai pertubuhan itu.

    Jawatankuasa perisikan parlimen semalam menyoal siasat para pegawai Hal Ehwal Dalam Negeri berhubung isu itu, dengan mengajukan pertanyaan sama ada mereka telah mengesahkan status Prakash dengan pihak Fiji atau berunding dengan pakar-pakar dalam undang-undang Fiji sebelum melucutkan kewarganegaraan Prakash.

    “Tidak, kami tidak berbuat demikian,” Linda Geddes, seorang pejabat jabatan itu mengakui.

    Jika Prakash bukan warga Fiji atau pun Australia, dia kini tidak akan memiliki kewarganegaraan dan itu menyalahi perjanjian PBB dan undang-undang Australia yang telah berdekad-dekad lamanya.

    Seorang penasihat Khas yang menasihatkan kerajaan memberitahu jawatankuasa parlimen dia telah memberikan ‘nasihat tegas’ berhubung kes ini, namun tidak menyatakan dengan terperinci.

    Langkah ke atas Prakash disambut baik pada ketika itu oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Peter Dutton yang berpendirian keras ketika parti memerintah, Parti Liberal menumpu pada para penyokong asasnya dan pilihan raya bulan Mei.

    Namun ia mewujudkan latar yang janggal bagi lawatan bersejarah ke Pasifik baru-baru ini oleh Perdana Menteri Australia Scott Morrison. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda