Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia mula undi nama rover bulan

    SYDNEY, 20 NOV – Rakyat Australia mula mengundi hari ini untuk menamakan rover bulan buatan sendiri negara itu, dengan senarai pendek termasuk ‘Mateship’, ‘Roo-ver’ dan ‘Kakirra’ perkataan peribumi untuk satelit bumi.

    Industri angkasa Australia akan membangunkan rover separa-autonomi untuk mengumpul tanah bulan di bawah perjanjian yang ditandatangani dua tahun lalu dengan NASA, yang merancang untuk membawanya ke permukaan bulan pada 2026.

    NASA kemudian akan cuba mengekstrak oksigen dari sampel tanah tersebut, menandakan ‘langkah penting ke arah kehadiran manusia yang mampan di bulan’, kata Agensi Angkasa Australia dalam satu kenyataan.

    Dua konsortium Australia, AROSE dan ELO2, sedang mengusahakan konsep rover, salah satu daripadanya akan dipilih untuk merancang dan membangunkan rover terakhir.

    Agensi tersebut berkata ia telah meminta ribuan orang dan sekolah untuk mengambil bahagian dalam pertandingan untuk mencipta nama terbaik bagi kenderaan bulan masa depan, mengurangkan mereka kepada senarai pendek empat nama.

    Nama-nama tersebut adalah ‘Mateship’, ‘Roo-ver’, ‘Kakirra’ dan ‘Coolamon’ iaitu mangkuk kayu orang asli dengan sisi melengkung yang digunakan untuk pelbagai tugas termasuk memberi makanan dan membuai anak damit.

    Undian dalam talian dibuka kepada orang ramai hari ini, dengan nama pemenang akan diumumkan pada 6 Disember. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda