Australia nafi tuduhan mogok lapar

SYDNEY, 11 Jan – Australia menafikan bahawa beratus-ratus orang imigran telah mengadakan mogok lapar beramai-ramai di sebuah pusat kemudahan di Melbourne, sementara menegaskan bahawa keadaan di sana bukanlah ‘tidak berperikemanusiaan atau kejam’.

Beberapa hari selepas tahanan-tahanan dan aktivis mengisytiharkan mogok lapar dalam bantahan ke atas keadaan tempat tinggal, Pasukan Sempadan Australia berkata tidak berlaku ‘mogok lapar beramai-ramai’ di Tempat Tinggal Transit Imigresen Melbourne.

“Sementara beberapa tahanan enggan makan pada waktu biasa sebagai sebahagian dari bantahan, mereka terus makan dan minum di beberapa bahagian lain di tempat itu,” pasukan sempadan itu berkata dalam satu kenyataan.

Namun aktivis Ian Rentoul dari Pasukan Bersekutu Tindakan Orang Pelarian berkata ‘bantahan mogok lapar’ kini memasuki hari keempat.

Tahanan-tahanan telah melancarkan bantahan berhubung rungutan keadaan seperti penjara dan privasi terbatas.

John Vaofusi, 31 tahun, dari New Zealand yang kehilangan hak penduduk automatik selepas disabitkan bersalah kerana menyerang sebelumnya memberitahu AFP bahawa dia akan terus mengadakan mogok lapar ‘sehingga mereka melihat beberapa perubahan’.

“Saya merasa berada dalam penjara lagi,” ujarnya. “Saya telah jalani hukuman bagi jenayah itu.” – AFP