Thursday, September 19, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia naikkan tahap ancaman keganasan dalam negara

    MELBOURNE, 5 OGOS – Kerajaan Australia hari ini meningkatkan tahap amaran ancaman keganasan negara daripada ‘mungkin’ kepada ‘boleh berlaku’, memetik kebimbangan mengenai peningkatan radikalisasi dalam kalangan golongan muda dan ketegangan masyarakat berhubung perang Israel-Hamas.

    Ini adalah kali pertama tahap ancaman dinaikkan ke titik tengah Sistem Nasihat Ancaman Keganasan Kebangsaan lima peringkat sejak November 2022. Tahap itu sebelumnya berada pada tahap ‘mungkin’ selama lapan tahun.

    Tetapi Perdana Menterinya, Anthony Albanese menambah bahawa walaupun pegawai kerajaan berpendapat iklim semasa menjadikan keganasan semakin bahaya, mereka tidak mengetahui sebarang ancaman khusus.

    “Saya mahu meyakinkan rakyat Australia bahawa langkah ini tidak bermakna keganasan tidak dapat dielakkan dan ia tidak bermakna terdapat risikan tentang ancaman atau bahaya yang akan berlaku,” kata Albanese kepada pemberita.

    Beliau berkata kerajaan bertindak atas nasihat Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia, agensi pengintip domestik utama negara yang dikenali sebagai ASIO.

    “Nasihat yang kami terima ialah lebih ramai warga Australia menerima lebih banyak ideologi ekstrem dan menjadi tanggungjawab kami untuk berwaspada,” kata Albanese.

    “Kami telah melihat peningkatan global dalam keganasan dan ekstremisme bermotifkan politik. Banyak negara demokrasi sedang berusaha untuk menangani perkara ini, termasuk rakan-rakan kami di Amerika Syarikat dan di United Kingdom. Terdapat banyak perkara yang mendorong trend global ini ke arah keganasan. Kerajaan di seluruh dunia dunia bimbang tentang radikalisasi belia, radikalisasi dalam talian dan kebangkitan ideologi campuran baharu.”

    Pihak berkuasa Australia kali terakhir mengisytiharkan tindakan pengganas pada April, apabila seorang budak lelaki berusia 16 tahun dituduh menikam seorang biskop di Sydney.

    Ketua Pengarah ASIO Mike Burgess berkata lebih ramai rakyat Australia lebih cepat menerima kesan radikalisasi.

    “Lebih ramai rakyat Australia menerima pelbagai ideologi ekstrem yang lebih pelbagai dan lebih ramai rakyat Australia sanggup menggunakan keganasan untuk memajukan perjuangan mereka,” kata Burgess,

    “Keganasan bermotifkan politik kini menyertai pengintipan dan campur tangan asing sebagai kebimbangan utama keselamatan kami. Faktor-faktor ini menjadikan tugas ASIO lebih sukar. Ancaman semakin sukar untuk diramal dan dikenal pasti,” tambahnya. – AP

    Anthony Albanese (kiri) dan Ketua Pengarah ASIO, Mike Burgess semasa sidang akhbar di Bangunan Parlimen di Canberra, Australia hari ini. – AP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda