Australia perjelas kerjasama AUKUS

PUTRAJAYA, 19 SEPT – Australia akan menghantar pegawainya ke Malaysia untuk memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai kerjasama antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata perkara itu dipersetujui semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Australia, Senator Marise Payne, baru-baru ini.

Saifuddin juga menyeru semua pihak berkenaan di rantau Indo-Pasifik dan selainnya untuk mengukuhkan kerjasama lebih aktif dalam mempromosikan dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, sebagaimana digariskan di bawah ASEAN Outlook on Indo-Pacific. Beliau turut berkongsi keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa penubuhan AUKUS akan menyebabkan berlakunya peningkatan persaingan senjata di rantau ini.

“Ia juga berpotensi mencetuskan ketegangan di antara negara kuasa besar dunia dan memburukkan lagi tindakan agresif antara negara-negara tersebut di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan,” katanya. Pada 15 September, AS, UK dan Australia mengumumkan kerjasama tiga hala baharu itu, antara lain bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear. AUKUS telah mencetuskan kebimbangan mengenai perlumbaan persenjataan nuklear di rantau ini.

Saifuddin juga menegaskan kembali kenyataan perdana menteri yang menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan Malaysia sedia ada di bawah Konvensyen PBB 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS), Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). – Bernama