SYDNEY, 8 OKT – Australia mengumumkan ia akan melindungi sebahagian besar wilayah lautan hari ini dengan memperluas taman marin Antartika yang menjadi tempat tinggal kepada penguin, anjing laut, ikan paus dan dua gunung berapi aktif di negara itu.
Rizab marin Pulau Heard dan Pulau McDonald yang terletak 1,700 kilometer dari Antartika, akan meningkat empat kali ganda saiznya di bawah pengumuman tersebut.
Ini bermakna 52 peratus daripada lautan negara tersebut akan dilindungi, kata satu kenyataan kerajaan, di mana ia akan mengukuhkan kedudukan Australia dalam kalangan negara terkemuka yang melindungi lautan.
Ia juga akan menyaksikan Australia mengatasi sasaran global 30 peratus oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjelang 2030 yang ditandatangani Australia pada 2022.
Menteri Alam Sekitar Australia, Tanya Plibersek berkata pengumuman itu adalah ‘satu kemenangan alam sekitar terbesar.’
“Ia merupakan kawasan kami yang unik dan luar biasa. Kami melakukan segala yang termampu untuk melindunginya,” tambah beliau.
Keluasan Australia dan kedudukan lokasinya yang terpencil memudahkan negara itu untuk melindungi lautan berbanding negara lain, terutamanya di kawasan yang jarang digunakan bagi kegiatan memancing. – AFP