Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia pertama kali alami kemelesetan

    SYDNEY, 2 SEPT – Australia mencatat kemelesetan pertamanya dalam hampir tiga dekad dengan ekonominya menyusut tujuh peratus pada suku kedua, data rasmi menunjukkan.

    Dengan sebahagian besar ekonomi domestik dan global ditutup untuk mengekang pandemik, aktiviti perniagaan mengalami kemerosotan teruk, meskipun pihak berkuasa menyediakan sokongan berbilion dolar, yang tidak dilihat semasa krisis kewangan global.

    “Hari ini akaun negara mengesahkan impak teruk COVID-19 ke atas ekonomi Australia,” kata Perbendaharaan Josh Frydenberg.

    “Rekod pertumbuhan ekonomi kami selama 28 tahun berturut-turut kini sudah berakhir. Puncanya adalah pandemik,” kata beliau.

    Ekonomi menyusut tujuh peratus pada April-Jun berbanding tiga bulan sebelumnya, sejajar dengan ramalan kerajaan, kata Biro Statistik Australia. Ia menyusuli kemerosotan 0.3 peratus. Satu kemelesetan ditakrifkan sebagai penyusutan dua suku berturut-turut.

    Keluaran dalam negara kasar merosot 6.3 peratus tahun-ke-tahun.

    “Suku Jun melihat penyusutan besar dalam perbelanjaan isi rumah ke atas perkhidmatan kerana keluarga mengubah tingkah laku mereka dan sekatan dilaksanakan untuk membendung penularan koronavirus,” kata ketua akaun negara Michael Smedes.

    Waktu kerja merosot hampir 10 peratus sementara bayaran tunai faedah sosial meningkat lebih 40 peratus, manakala import dan eksport juga merosot.

    Kerajaan telah menyuntik puluhan bilion dolar untuk mengatasi kesan ekonomi akibat pandemik dan Frydenberg berkata penyusutan akan menjadi lebih teruk tanpa sokongan tersebut, yang termasuk bayaran kepada majikan untuk mengelak pembuangan pekerja. – AFP

    Sebuah pusat membeli-belah yang kelihatan lengang di Sydney, kelmarin. Ekonomi Australia mengalami kemelesetan pertamanya dalam 28 tahun disebabkan pandemik. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda