Tuesday, November 26, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia peruntuk AS$63.9 juta siap siaga hadapi H5N1

    CANBERRA, 14 OKT – Kerajaan Australia meluluskan dana tambahan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan kemunculan wabak selesema burung, lapor Xinhua.

    Kerajaan mengumumkan tambahan sebanyak AU$95 juta (AS$63.9 juta) hari ini untuk langkah-langkah bio keselamatan, perlindungan alam sekitar dan kesihatan awam, bertujuan melindungi Australia daripada ancaman wabak selesema burung H5N1 (HPAI).

    Pakar memberi amaran penularan strain itu ke Australia adalah tidak dapat dielakkan, dan boleh berlaku apabila burung yang berhijrah tiba untuk musim bunga dan musim panas di selatan negara itu.

    Pembiayaan baharu tersebut merangkumi AU$37 juta (AS$24.9 juta) untuk inisiatif melindungi sektor pertanian Australia sekiranya wabak H5N1 melanda, serta AU$35.9 juta (AS$24.1 juta) untuk langkah-langkah perlindungan alam sekitar dan tindakan pemuliharaan bagi spesies terancam.

    Selain itu, sebanyak AU$22.1 juta (AS$14.8 juta) akan diperuntukkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan kesihatan awam dengan meningkatkan stok vaksin yang sedia digunakan dalam Stok Perubatan Nasional.

    “Walaupun Australia masih bebas daripada HPAI H5N1, hakikatnya seperti negara lain, kita tidak dapat menghalang kemunculannya,” kata Menteri Alam Sekitar, Tanya Plibersek dalam satu kenyataan.

    Dengan pengumuman itu, jumlah keseluruhan dana kerajaan untuk menangani H5N1 kini melebihi AU$100 juta (AS$67.3 juta), selepas pengumuman berjumlah AU$6.9 juta (AS$4.6 juta) pada Julai bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas nasional. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda