Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia peruntuk AS$8 bilion, naik taraf limbungan kapal selam

    SYDNEY, 14 SEPT – Australia akan membelanjakan sebanyak A$12 bilion (AS$8 bilion) pada peringkat awal untuk menaik taraf fasiliti limbungan kapal bagi armada kapal selam berkuasa nuklear pada masa hadapan, umum kerajaan hari ini.

    Pelaburan itu akan dilaksanakan sepanjang tempoh 10 tahun bagi membangunkan kawasan pembinaan dan penyelenggaraan kapal di Perth, Australia Barat, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles.

    Kerajaan menyalurkan dana ke Precinct Pertahanan Henderson di Perth selepas menandatangani pakatan AUKUS bersama Britain dan Amerika Syarikat (AS) pada 2021 untuk memperlengkapkan tenteranya dengan kapal selam berkuasa nuklear.

    Pembangunan limbungan itu merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula ketenteraan utama bagi meningkatkan keupayaan serangan jarak jauh Australia berdepan pengaruh ketenteraan China yang semakin meluas di rantau Pasifik.

    “Henderson merupakan projek AUKUS sepenuhnya. Di sinilah kita akan melakukan kerja penyelenggaraan dan servis kapal selam masa depan kita,” kata Marles pada sidang media.

    “Saya yakin keputusan ini akan dialu-alukan di AS, begitu juga di United Kingdom, kerana ia merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan AUKUS,” katanya.

    Namun, beliau menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian Australia sendiri terhadap ‘landskap strategik’ yang sedang dihadapi serta keperluan angkatan tentera untuk berdepan cabaran semasa.

    Pelaburan tersebut akan melengkapkan Henderson dengan dok kering keselamatan tinggi untuk penyelenggaraan kapal selam nuklear, selain fasiliti membina kapal pendaratan dan pada masa hadapan, frigat kelas Mogami dari Jepun, katanya.

    Kos keseluruhan pembangunan Precinct Pertahanan Henderson dijangka mencecah A$25 bilion, kata Marles. – AFP

    Australia menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya tiga kapal selam kelas Virginia dari AS dalam tempoh 15 tahun dan akhirnya berjaya menghasilkan kapal selam mereka sendiri. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda