SYDNEY, 28 JAN – Menteri sains Australia hari ini membangkitkan kebimbangan privasi berhubung bot sembang kecerdasan buatan (AI) dari China, DeepSeek serta menggesa pengguna berfikir dengan teliti sebelum memuat turunnya.
Dibangunkan oleh syarikat pemula berpangkalan di China, bot sembang DeepSeek telah mengejutkan industri dan menaikkan pasaran kewangan sejak ia dikeluarkan minggu lepas.
Dipuji kerana keupayaannya untuk menandingi pesaing Barat dengan kos yang lebih rendah, ia telah melonjak ke bahagian atas carta muat turun aplikasi, menggantikan ChatGPT yang mendahului pasaran.
Namun, Menteri Sains Australia, Ed Husic menggesa berhati-hati apabila mengatakan kepada media nasional ABC, “Terdapat banyak soalan yang perlu dijawab segera mengenai kualiti, keutamaan pengguna, data dan pengurusan privasi.”
“Saya akan sangat berhati-hati tentang itu. Isu jenis ini perlu diberi pertimbangan dengan teliti,” tambahnya.
Husic berkata syarikat China kadangkala berbeza daripada pesaing Barat dalam hal privasi pengguna dan pengurusan data.
“Orang Cina sangat baik dalam membangunkan produk yang berfungsi dengan baik. Pasaran sudah terbiasa dengan pendekatan mereka mengenai data dan privasi.
“Apabila awda mengeksportnya ke pasaran di mana pengguna mempunyai jangkaan berbeza mengenai privasi dan pengurusan data, persoalannya ialah sama ada produk tersebut akan diterima dengan cara yang sama.
“Saya fikir awda perlu berhati-hati, saya hanya berterus terang dan bersikap telus mengenainya,” ujar Husic.
Australia pernah melarang gergasi telekomunikasi China Huawei daripada rangkaian 5G nasionalnya pada 2018 dengan alasan bimbang atas keselamatan negara. – AFP