SYDNEY, 7 DIS – Australia mencapai perjanjian keselamatan dengan Papua New Guinea (PNG) hari ini, bagi memperkukuhkan lagi hubungan dengan sebuah negara di Pasifik.
Canberra mendesak untuk mendapatkan perjanjian yang sangat penting awal tahun ini, tetapi PNG enggan kerana pemimpin-pemimpinnya bimbang akan merosakkan ‘hak kedaulatan’ negara tersebut.
Pihak Australia dan Amerika Syarikat telah berada dalam kempen diplomasi untuk mengukuhkan hubungan mereka di rantau Pasifik Selatan.
Mereka terkejut dan bertindak pada April tahun lalu apabila Kepulauan Solomon – jiran timur PNG – menandatangani perjanjian keselamatan yang rahsia dengan China.
Perjanjian keselamatan Australia tertumpu kepada keselamatan dalam negeri PNG, di mana polis menghadapi masalah untuk mengawal perdagangan senjata, penyeludupan dadah, dan keganasan perkauman.
Perdana Menteri PNG, James Marape, berkata perjanjian tersebut merangkumi ‘pelbagai lingkungan keselamatan,’ termasuk penguatkuasaan undang-undang dan sokongan untuk sistem undang-undang negara itu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata ia akan menggalakkan ‘kestabilan serantau’ di Pasifik.
PNG telah memberikan Amerika Syarikat akses ‘tanpa halangan’ ke pangkalan tentera laut, pelabuhan, dan lapangan terbang utama di bawah perjanjian yang dirundingkan pada Mei tahun ini. Namun, terdapat reaksi politik yang pantas, di mana pihak-pihak lawan bimbang bekas jajahan British itu memberi terlalu banyak pengaruh kepada kuasa-kuasa asing. – AFP
