SYDNEY, 29 JULAI – Australia akan memulangkan 14 karya seni kepada India termasuk kira-kira enam yang dipercayai telah dicuri atau dieksport secara haram, umum National Gallery hari ini.
Galeri Canberra mengenal pasti karya seni itu – yang termasuk arca, gambar dan skrol – sama ada dicuri, dirampas atau asalnya yang tidak diketahui.
Koleksi itu mengandungi sebahagian besar ‘artifak kebudayaan dan keagamaan’ bernilai kira-kira AS$2.2 juta, termasuk beberapa daripadanya bertarikh abad ke-12.
Pengarah Galeri, Nick Mitzevich memberitahu AFP bahawa karya-karya tersebut akan dikembalikan kepada kerajaan India dalam masa beberapa bulan ini.
“Sungguh melegakan yang ia akan dikembalikan kepada rakyat India dan tekad National Gallery untuk menamatkannya adalah babak sukar dalam sejarah kami,” katanya.
Sebanyak 13 karya seni itu berkaitan dengan pengedar tidak sah, Subhash Kapoor, bekas seorang pengedar seni Manhattan yang menjadi subjek bagi siasatan persekutuan AS dikenali sebagai Operation Hidden Idol.
Kapoor yang sedang menunggu perbicaraan, menafikan semua tuduhan itu.
National Gallery of Australia sudah pun memulangkan beberapa karya seni lain yang diperolehinya menerusi Kapoor, termasuk arca tembaga dewa Hindu, Shiva bernilai AS$5 juta yang telah dicuri dari sebuah kuil Tamil Nadu.
Mitzevich berkata ia telah memperkenalkan garis pandu untuk menilai sebarang isu etika dan perundangan dengan kerja-kerja yang dikendalikannya serta sedang menyiasat tiga arca lain dari koleksi Asia. – AFP