SYDNEY, 3 OGOS – Galeri kebangsaan Australia berkata hari ini, ia akan memulangkan tiga arca ke Kemboja selepas siasatan mendapati ia berkemungkinan telah ‘dieksport secara haram’ dari negara itu.
Arca gangsa dari abad ke-9 hingga ke-10 dibeli dengan harga AS$1.5 juta pada 2011 oleh peniaga seni British, Douglas Latchford, yang kemudiannya ‘disahkan terlibat dalam perdagangan haram barang antik,’ kata galeri itu.
Latchford meninggal dunia pada 2020, setahun selepas didakwa memperdagangkan barang antik Kemboja yang dicuri dan dirompak. Tuduhan juga telah dikenakan secara anumerta berkaitan karya seni yang dijualnya, kata galeri itu.
Pada majlis penyerahan, Susan Templeman, utusan khas Australia untuk seni, berkata ppenyerahan semula arca-arca tersebut ke Kemboja adalah ‘peluang untuk membetulkan kesilapan sejarah.’
Beliau berkata, kerajaan Kemboja telah bekerjasama dengan Australia dalam isu itu dengan ‘semangat kerjasama dan kemurahan hati.’
Chanborey Cheunboran, Duta Kemboja ke Australia, menyifatkan penyerahan itu sebagai ‘satu peristiwa bersejarah dan langkah penting ke arah membetulkan ketidakadilan masa lalu, mengukuhkan nilai harta budaya dan mengiktiraf kepentingan memelihara dan melindungi warisan budaya.’
Arca-arca tersebut akan terus dipamerkan di Australia selama tiga tahun sementara kerajaan Kemboja menyediakan tempat baharu untuk arca itu di Phnom Penh. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P11-B-web-Freepik_04082023.jpg)