Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia rancang tingkat pelaburan di SEA

    MELBOURNE, 5 MAC – Australia mendedahkan rancangan untuk meningkatkan pelaburan di Asia Tenggara (SEA) hari ini, dengan memperuntukkan AS$1.3 bilion untuk meningkatkan perdagangan di rantau yang mempunyai ekonomi yang kukuh

    Perdana Menteri, Anthony Albanese mengumumkan pembiayaan itu ketika pemimpin dari forum ASEAN 10 buah negara bertemu di Melbourne untuk sidang kemuncak tiga hari.

    “Kerajaan yang saya pimpin telah menjelaskannya. Lebih daripada rantau lain, Asia Tenggara adalah tempat masa depan Australia,” kata Albanese dalam forum perniagaan di luar sidang kemuncak itu.

    Berikutan beberapa siri pertikaian, Australia semakin berusaha untuk membina hubungan ekonomi di luar rakan perdagangan utama China.

    Didorong oleh pertumbuhan penduduk yang pesat dan mapan selama bertahun-tahun, blok ASEAN dilihat secara meluas sebagai kuasa ekonomi yang sedang pesat membangun.

    Dengan simpanan mineral yang amat banyak dan keperluan yang semakin meningkat bagi tenaga elektrik, Asia Tenggara juga bersedia untuk memainkan peranan utama dalam kempen global untuk tenaga bersih.

    Pakej pembiayaan baharu Australia akan menyediakan pembiayaan eksport dan pinjaman yang sebahagian besarnya disalurkan kepada projek infrastruktur dan tenaga yang boleh diperbaharui.

    Albanese berkata ia adalah ‘peningkatan paling ketara dalam penglibatan ekonomi Australia dengan ASEAN untuk satu generasi.’ – AFP

    Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, bercakap dalam sidang akhbar semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia ke-50 di Melbourne pada 5 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda