Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia saman Microsoft sebab tawaran AI ‘mengelirukan’

    SYDNEY, 27 OKT – Sebuah badan pemerhati persaingan Australia menuduh Microsoft hari ini kerana mengelirukan orang ramai dengan mengenakan bayaran untuk pembantu AI Copilot.

    Pihak berkuasa itu telah memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan terhadap Microsoft Australia dan syarikat induknya Microsoft Corp.

    Syarikat gergasi perisian itu dituduh membuat kenyataan ‘palsu atau mengelirukan’ kepada sekitar 2.7 juta rakyat Australia yang melanggan pelan Microsoft 365 secara automatik, termasuk perkhidmatan Office dalam talian.

    Microsoft didakwa menawarkan pelanggan dengan dua pilihan sama ada buat bayaran tambahan untuk Microsoft 365 yang disepadukan dengan Copilot, atau batalkan langganan sama sekali.

    Namun terdapat pilihan ketiga yang selalunya tersembunyi apabila ia hanya muncul apabila pelanggan memilih batal, iaitu kekal dengan pelan ‘klasik’ sedia ada tanpa Copilot untuk harga asal, kata Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia dalam satu kenyataan.

    “Microsoft sengaja tidak menawarkan pelan klasik dalam komunikasi dan sembunyikan pilihan itu sehingga selepas pelanggan memilih batalkan. Ini dibuat dengan niat untuk tambah pelanggan dalam pelan bersepadu Copilot yang lebih mahal,” kata pengerusi suruhanjaya Gina Cass-Gottlieb.

    “Aplikasi Microsoft Office dalam langganan 365 adalah penting untuk ramai orang dan memandangkan kurangnya pilihan terhadap pakej langganan, membatalkan langganan boleh jadi keputusan yang ramai tidak akan pilih dengan mudah.”

    Suruhanjaya itu turut menuduh Microsoft mengelirukan pelanggan dengan pelan peribadi dan keluarga sejak 31 Oktober 2024.

    Langganan tahunan untuk pelan Microsoft 365 yang menggabungkan Copilot adalah antara 29 dan 45 peratus lebih tinggi daripada yang tidak melanggan kedua-duanya, kata badan pemerhati tersebut.

    Microsoft boleh menghadapi penalti AUD$50 juta atau lebih (AS$30 juta) untuk setiap pelanggaran. Microsoft juga belum memberi tindak balas pertuduhan tersebut. – AFP

    Satu demonstrasi Copilot di acara Sesi Copilot Musim Luruh 2025 Microsoft pada 22 Oktober di Los Angeles. Australia saman Microsoft. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda