Saturday, January 18, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia sambut pasangan panda baharu dari China

    ADELAIDE, 16 DIS – Ketibaan sepasang panda gergasi baharu di Australia Selatan telah disambut baik oleh pegawai Australia, yang menyifatkan kehadiran panda berkenaan sebagai simbol hubungan erat antara Australia dan China.

    Panda jantan Xingqiu, berusia empat tahun dan panda betina Yilan, berusia tiga tahun, tiba di Adelaide, ibu negeri Australia Selatan, kelmarin, melalui penerbangan dari Wilayah Sichuan, China. Ia kini menjadi satu-satunya panda gergasi di Hemisfera Selatan.

    Pasangan haiwan itu akan menghabiskan masa 10 tahun di Zoo Adelaide, menggantikan pasangan sebelumnya, Wangwang dan Funi, yang kembali ke China pada November lalu selepas 15 tahun berada di Australia.

    Menteri Luar Australia, Penny Wong, yang juga berasal dari Adelaide, berkata kehadiran Xingqiu dan Yilan akan memberi kegembiraan kepada pelancong domestik dan antarabangsa serta meningkatkan sektor pelancongan Australia Selatan.

    Kedua-dua panda itu akan menjalani tempoh kuarantin selama sebulan sebelum dipindahkan ke ruang pameran Bamboo Forest di Zoo Adelaide, yang telah dinaik taraf bagi menyambut kedatangannya.

    “Saya amat teruja untuk menyambut Xingqiu dan Yilan di Adelaide serta membawa anak-anak saya melawat Zoo Adelaide pada awal tahun depan, sebaik sahaja tempoh kuarantinnya selesai,” kata Wong dalam kenyataan media bersama Menteri Perdagangan dan Pelancongan, Don Farrell; timbalan perdana menteri Australia Selatan, Susan Close; dan Menteri Pelancongan Negeri, Zoe Bettison.

    Don Farrell turut menyatakan bahawa panda telah menjadi daya tarikan utama di Zoo Adelaide. “Saya berharap kehadiran panda baharu ini akan meningkatkan jumlah pelawat yang ingin melihat sendiri keunikan haiwan megah ini,” katanya.

    Ketibaan panda itu juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif antara China dan Australia, yang mempunyai makna istimewa, kata Konsul Jeneral China di Adelaide, Li Dong, dalam sidang media meraikan ketibaan panda gergasi tersebut. – Xinhua

    Sebuah pesawat yang membawa panda gergasi, Xingqiu dan Yilan tiba di Adelaide, ibu negeri Australia Selatan, Australia, kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda