Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia sediakan 500 tempat duduk penerbangan untuk rakyat tinggalkan Lebanon

    CANBERRA, 3 OKT – Kerajaan Australia telah menyediakan lebih 500 tempat duduk penerbangan bagi membantu warganya meninggalkan Lebanon, di tengah-tengah situasi keselamatan yang semakin meruncing di rantau berkenaan.

    Menteri Luar Negeri, Penny Wong, pada Khamis berkata bahawa dua penerbangan komersial dari Beirut ke Cyprus akan ditawarkan pada Sabtu ini, membabitkan 500 tempat duduk untuk warganegara Australia, penduduk tetap, serta ahli keluarga terdekat mereka. Ini merupakan tambahan kepada 80 tempat duduk yang disediakan pada penerbangan Khamis.

    Menurut beliau, seramai 1,700 warga Australia di Lebanon telah mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan untuk meninggalkan negara itu. Namun, hanya 35 daripada 80 tempat duduk yang ditawarkan pada Khamis telah digunakan.

    “Operasi penerbangan ini akan tertakluk kepada keadaan keselamatan semasa dan sama ada lapangan terbang di Beirut terus beroperasi,” kata Wong dalam satu sidang media.

    Beliau turut menyeru warganegara Australia agar tidak menangguhkan keputusan mereka untuk keluar dari Lebanon.

    “Kepada rakyat Australia yang mahu meninggalkan negara itu, ambillah sebarang peluang laluan yang ada. Jangan tunggu laluan yang anda lebih gemari,” katanya.

    “Ini bukan masa untuk menunggu. Sekarang adalah masa untuk bertindak meninggalkan negara,” tegas beliau.

    Kerajaan persekutuan Australia berulang kali menasihati warganya di Lebanon supaya segera beredar, selain memberi amaran bahawa lapangan terbang Beirut berkemungkinan akan ditutup ekoran konflik yang semakin memuncak di rantau tersebut. – Xinhua


    Wong berucap pada sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada 27 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda