Sunday, January 12, 2025
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia Selatan larang iklan makanan rapu

    CANBERRA, 12 JAN – Australia Selatan (SA) menjadi negeri pertama di Australia yang melarang iklan makanan rapu di pengangkutan awam sebagai usaha menangani obesiti dan menggalakkan pemakanan sihat, lapor Xinhua.

    Larangan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 itu, melibatkan pengharaman imej produk tidak sihat seperti coklat, gula-gula, kedai gula-gula, pencuci mulut, ais krim, minuman ringan, dan kerepek daripada dipaparkan pada bas, kereta api, dan trem awam.

    Bukti kukuh menunjukkan bahawa pemasaran makanan dan minuman boleh mempengaruhi pengetahuan pemakanan kanak-kanak, pilihan makanan, serta corak pemakanan mereka. Iklan makanan dan minuman tidak sihat juga dikaitkan dengan obesiti dan diabetes jenis 2, menurut pakar kelmarin.

    “Iklan makanan rapu mempunyai pengaruh yang sangat kuat dan meyakinkan terhadap apa yang dimakan oleh kanak-kanak,” kata Jane Martin daripada Food for Health Alliance, seperti dipetik oleh Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

    Sangat penting agar iklan ini dikawal oleh pihak negeri kerana pengiklanan ini semakin bertambah, bukan hanya di televisyen dan platform digital, tetapi juga di tempat-tempat di mana kanak-kanak berada, seperti ketika mereka berulang-alik ke sekolah,” kata Martin.

    Beliau turut mencadangkan agar sayur-sayuran seperti brokoli dan lobak merah lebih banyak  dipromosikan daripada tawaran makanan segera.

    Statistik kerajaan menunjukkan lebih 63 peratus orang dewasa dan 35 peratus kanak-kanak di SA mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Angka ini dijangka meningkat sebanyak 1,900 kanak-kanak dan 48,000 orang dewasa dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada tindakan diambil.

    Ketika ini, hampir 80 peratus iklan makanan dan minuman di bas SA mempromosikan produk tidak sihat, menurut Majlis Kanser SA.

    Larangan ini, yang bertujuan mengurangkan pendedahan kepada pemasaran makanan dan minuman tidak sihat, diharapkan dapat mengurangkan pembelian produk berkenaan. Ia diperkenalkan selepas proses rundingan awam melibatkan pihak berkepentingan utama termasuk organisasi kesihatan awam, industri makanan dan minuman, serta industri pengiklanan.- Bernama/Xinnhua

    Iklan makanan rapu dilarang di Australia Selatan. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda