SYDNEY, 30 April – Polis di Australia hari ini berkata mereka sedang menyiasat satu laporan bahawa anak lelaki kepada seorang pejuang kumpulan Islam IS yang berusia lapan tahun dalam rakaman video dilihat memakai ves yang dipakai dalam melakukan pengeboman berani mati dan mengancam akan membunuh warganegaranya.
Rakaman itu dikatakan memaparkan anak lelaki bongsu kepada Khaled Sharrouf, yang pada Februari lalu menjadi warga Australia pertama dilucutkan kewarganegaraannya di bawah undang-undang anti pengganasan. Dalam rakaman yang dibuat baru-baru ini memaparkan budak lelaki itu memegang dua laras senapang dan sebilah pisau dan membuat ancaman ketika latar suara menyoalnya “Bagaimana kamu membunuh seorang warga Australia?” lapor Sunday Telegraph, Sydney.
Sharrouf, yang meninggalkan Australia menuju Syria pada tahun 2013 bersama keluarganya, telah menjadi tajuk-tajuk akhbar antarabangsa pada tahun 2014 apabila dia menghantar imej di Twitter yang memaparkan seorang lagi anak lelakinya memegang kepala yang telah penggal.
“NSW Joint Counter Terrorism Team (JCTT) mengetahui tentang video itu yang datangnya dari Timur Tengah yang memaparkan budak di bawah umur membuat ancaman dengan nama ISIS,” polis negeri New South Wales berkata dalam satu kenyataan.
“JCTT sedang menyiasat video itu. bagaimanapun tidak ada ancaman khusus. Tahap ancaman pengganasan kebangsaan pada masa ini masih di tahap kemungkinan.”
Selepas isteri Sharrouf, Tara Nettleton dilaporkan meninggal dunia tahun lalu, usaha ibu isterinya itu gagal membawa pulang lima orang anak mereka itu ke tanah air. – AFP