SYDNEY, 2 Julai – Australia menamatkan penyerahan bantuan secara langsung terhadap Pihak Berkuasa Palestin hari ini atas kebimbangan ia akan digunakan untuk membantu orang awam melakukan keganasan politik.
Canberra akan menghentikan AUS$10 juta setahun yang diberikan kepada dana Bank Dunia untuk pemulihan dan pembangunan Palestin, kata Menteri Luar Negeri Julie Bishop.
“Saya menulis kepada Pihak Berkuasa Palestin pada 29 Mei, untuk mendapatkan jaminan jelas bahawa pembiayaan Australia tidak digunakan untuk membantu rakyat Palestin yang disabitkan dengan keganasan yang bermotifkan politik,” katanya dalam satu kenyataan.
“Saya yakin bahawa pembiayaan Australia sebelum ini ke Pihak Berkuasa Palestin melalui Bank Dunia telah digunakan seperti yang diharapkan.
“Bagaimanapun, saya prihatin bahawa dalam menyediakan dana untuk aspek operasi Palestin ini, terdapat adanya peluang untuk menggunakan belanjawannya sendiri untuk kegiatan yang tidak akan pernah didukung oleh Australia.”
Australia sebaliknya akan menghantar wang itu ke Dana Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Wilayah Palestin, yang memberikan penduduk Palestin yang lemah dengan akses kepada penjagaan kesihatan, makanan, air, sanitasi dan perlindungan yang lebih baik. Dana itu membantu 1.9 juta orang dan sekitar tiga perempat wangnya dibelanjakan di Gaza, di mana keadaan hidup semakin merosot apabila ketegangan meningkat dengan Israel.
Keputusan Canberra berlaku di tengah-tengah hubungan yang semakin memburuk antara Pihak Berkuasa Palestin dan sekutu utama Australia iaitu Amerika Syarikat. – AFP