Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia tarik diri hos Sukan Komanwel 2026

    SYDNEY, 4 DIS – Gold Coast di Australia telah membatalkan bidaan terakhirnya untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, ketika penganjur berusaha untuk mencari tuan rumah yang bersedia.

    Negeri Victoria, di Australia, asalnya dijadualkan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, tetapi tiba-tiba menarik diri pada bulan Julai tahun ini dengan alasan kos yang semakin meningkat.

    Gold Coast, sebuah bandar tepi pantai yang dihuni oleh kira-kira 600,000 orang penduduk di Queensland, menawarkan diri untuk mengambil alih tetapi hanya sekiranya kerajaan persekutuan membantu menanggung kos.

    Disebabkan pihak berkuasa tidak berminat dengan idea tersebut, Datuk Bandar, Tom Tate berkata usahanya untuk menyelamatkan Sukan Komanwel sudah berakhir.

    “Kami melakukan yang terbaik dan itu sahaja yang boleh diharapkan,” ujarnya kepada media Australia pada malam kelmarin.

    Gambar Freepik

    Pegawai Sukan Komanwel berkata bulan lalu mereka sedang berusaha di bawah jadual waktu yang ketat untuk mencari pengganti, dan lebih suka untuk mengekalkan acara tersebut di Australia.

    Ketua Persekutuan Sukan Komanwel, Katie Sadleir, menyatakan pada masa itu bahawa terdapat kemungkinan kelewatan tersebut akan menangguhkan Sukan sehingga tahun 2027.

    Persekutuan itu sebelum ini berkata mereka ‘sangat kecewa’ dengan keputusan mengejut Victoria untuk menarik diri.

    “Kami kecewa kerana kami hanya diberi notis lapan jam dan tiada pertimbangan diberikan untuk membincangkan situasi bagi mencari penyelesaian bersama sebelum keputusan ini diambil oleh kerajaan,” kata penganjur pada bulan Julai.

    Semakin sukar untuk kekal relevan dan dengan kurangnya negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah bagi acara tersebut nasib jangka panjang Sukan Komanwel masih belum dapat dipastikan.

    Negeri Alberta, di Kanada, menarik balik sokongan mereka terhadap bidaan berkemungkinan menjadi tuan rumah pada edisi 2030 beberapa minggu selepas pengumuman Victoria.

    Acara ini biasanya menarik lebih daripada 4,000 orang atlet dari 54 buah negara Komanwel, hampir kesemua daripadanya adalah bekas wilayah Empayar British.

    Sukan terakhir, pada tahun 2022, diadakan di England setelah Birmingham campur tangan pada saat terakhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda