SYDNEY, 31 JULAI – Kanak-kanak di Australia yang menghadapi alergi kacang tanah yang berpotensi membawa maut akan ditawarkan rawatan melalui program kebangsaan yang pertama seumpamanya di dunia.
Anak damit yang layak akan menerima dos serbuk kacang tanah setiap hari selama dua tahun untuk meningkatkan toleransi mereka terhadap kacang tanah, menurut pegawai yang mengumumkan inisiatif itu, hari ini.
Sepanjang tempoh tersebut, dos akan ditingkatkan secara beransur-ansur dengan harapan dapat mengurangkan sensitiviti anak damit terhadap kacang tanah, di bawah pengawasan doktor di 10 buah hospital pediatrik di seluruh negara.
Ia merupakan program rawatan alergi kacang tanah peringkat kebangsaan pertama yang ditawarkan di hospital-hospital di luar persekitaran percubaan klinikal, kata Ketua Terapi Imun Oral di Pusat Kecemerlangan Alergi Kebangsaan, Kirsten Perrett.
Pada akhir tempoh dua tahun, ujian alahan makanan akan dijalankan untuk menentukan sama ada rawatan tersebut telah berjaya mengurangkan alahan.
“Matlamat utama kami adalah untuk me-ngubah trajektori penyakit alergi di Australia supaya lebih ramai kanak-kanak boleh bersekolah tanpa risiko reaksi alergi kacang tanah yang mengancam nyawa,” kata Perrett.
Sebelum ini, keluarga dinasihatkan untuk memastikan anak-anak mereka mengelakkan makanan yang mengandungi kacang tanah sepenuhnya.
Kanak-kanak di Australia mempunyai salah satu kadar alergi makanan tertinggi di dunia. – AFP
