CANBERRA, 6 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Australia Michael McCormack berjanji kerajaan akan melakukan apa saja yang diperlukan bagi memastikan industri pengeksportan haiwan ternakan kekal berdaya saing, menurut laporan media tempatan hari ini.
Michael McCormack, pemimpin parti Nasional, melabel mereka yang meminta bagi mengakhiri perniagaan kambing biri-biri negara sebagai ‘berhati lembut.’
Parti Buruh Australia (ALP) dan beberapa anggota kerajaan telah meminta kerajaan agar mengharamkan kesemua eksport haiwan ternakan selepas imej yang disiarkan pada April lalu, menunjukkan keadaan yang tidak berperikemanusiaan di sebuah kapal pengangkut haiwan ternakan.
Bercakap ketika memulakan lawatan ke Australia Barat di mana dia merancang untuk melawat penternak kambing biri-biri, McCormack berkata Australia adalah salah sebuah negara di dunia yang menguatkuasakan standard kebajikan eksport ternakan hidup.
“Mereka yang berhati lembut di kawasan bandar di ibu negara tidak dapat membezakan hoget dengan kambing biri-biri dan mungkin tidak peduli, kerana mereka tidak peduli sama ada permintaan dipenuhi oleh orang lain, mereka tidak mahu kambing biri-biri Australia mengisinya,” katanya kepada akhbar West Australian hari ini.
“Hakikatnya adalah perniagaan ini memberikan sumber pendapatan yang penting terhadap para petani di Australia Barat, dan ia mengalir ke seluruh ekonomi. Ia diperlukan.
Namun pengeksport juga bertanggungjawab untuk mempertingkatkan dan melakukan kerja dengan baik dan mereka telah pun diberikan notis.
“Saya tahu perniagaan tersebut diperlukan dan kami sebagai kerajaan, akan memastikan kami mengambil setiap langkah untuk memastikannya diteruskan.”
Kira-kira 3 juta haiwan ternakan kambing biri-biri, lembu, kerbau dan kambing dieksport dari Australia untuk disembelih bagi mendapat daging di luar negara setiap tahun. – AFP