Tuesday, March 25, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia tubuh agensi angkasa lepas

    SYDNEY, 25 Sept – Australia pada hari ini komited untuk menubuhkan agensi angkasa lepas negara tatkala ia mempertimbangkan untuk mengambil kesempatan ke atas sektor penerbangan yang berkembang pesat.

    Pengumuman itu keluar semasa persidangan angkasa lepas selama seminggu di Adelaide yang dihadiri oleh ahli sains dan pakar terkenal dunia termasuk ketua SpaceX, Elon Musk.

    Ia membawa Canberra, yang mempunyai penglibatan besar dalam aktiviti angkasa lepas nasional dan antarabangsa, sejajar dengan kebanyakan negara maju lain, yang telah pun mempunyai agensi berdedikasi untuk membantu menyelaras industri dan membentuk pembangunan.

    “Industri angkasa lepas global sedang berkembang pesat dan adalah penting Australia membentuk sebahagian daripada pertumbuhan ini,” kata pemangku menteri sains Michaelia Cash dalam kenyataan.

    “Agensi angkasa lepas nasional akan memastikan kami mempunyai pelan strategik jangka panjang yang menyokong kemajuan dan aplikasi teknologi angkasa lepas dan mengembang industri angkasa lepas domestik kami.”

    Gambar fail yang diambil pada 6 Ogos 2012 menunjukkan parabola 70 meter ketika mengesan kereta bersaiz Rover, Curiosity milik makmal sains Marikh NASA di Stesen Komunikasi Angkasa Lepas Canberra di Tidbinbilla di Canberra. Australia pada 25 September komited untuk menubuhkan agensi angkasa lepas negara. – AFP

    Menurut kerajaan, sektor angkasa lepas global, merangkumi pembaharuan, pertahanan dan telekomunikasi, telah berkembang setiap tahun sejak akhir 1990 pada hampir 10 peratus, menjana pendapatan berjumlah AS$323 bilion setahun.

    Beribu-ribu ahli sains terkenal dunia dan pakar angkasa lepas sedang menghadiri Kongres Angkasa Lepas Antarabangsa di Adelaide.

    Ketua SpaceX Musk dijangka memberikan maklumat terkini mengenai wawasan beliau untuk menubuhkan koloni Marikh.

    Juga antara mereka yang hadir adalah syarikat pertahanan Lockheed Martin, yang bekerjasama dengan NASA mengenai pelan untuk sampai ke Planet Merah.

    Lee Spitler, daripada jabatan astronomi Universiti Macquarie di Sydney, berkata industri angkasa lepas Australia buat masa sekarang sedang beroperasi “sebagai gerakan akar umbi dalam sejumlah kecil syarikat, kumpulan universiti dan sektor pertahanan.”

    “Ia akan membantu mempromosi semua kerja hebat yang telah dilakukan di Australia dalam sektor angkasa lepas, dan menambah potensi untuk negara kami yang memainkan peranan utama dalam arena angkasa lepas antarabangsa pada masa depan,” kata Spitler. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda