Thursday, January 16, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia, UK meterai perjanjian perdagangan bebas

    SYDNEY, 17 DIS – Australia dan Britain menandatangani satu perjanjian perdagangan bebas hari ini yang akan menghapus hampir kesemua cukai yang dikenakan ke atas eksport di antara kedua-dua negara.

    Perjanjian itu dimeterai pada majlis maya oleh Menteri Perdagangan Australia Dan Tehan di Adelaide dan Setiausaha Negeri untuk Perdagangan Antarabangsa Britain Anne-Marie Trevelyan di London.

    Perjanjian itu menghapus 99 peratus daripada cukai ke atas eksport, justeru menjimat kira-kira AS$10 bilion ke atas eksport Australia termasuk kambing biri-biri, daging, gula dan tenusu. Ia dijangka menjimatkan Britain AS$144 juta setahun untuk barangan seperti kereta, wiski dan kosmetik.

    Pengeksport pertanian Australia juga mempunyai akses yang lebih baik kepada pasaran Britain dan tarif AS$29 juta setahun akan dihapuskan daripada wain Australia yang memasuki United Kingdom. Warga Australia dan Britain akan mendapati lebih senang untuk tinggal dan bekerja di negara lain.

    Tehan berkata perjanjian itu, yang bakal berkuat kuasa pada 2022, akan menambah pelaburan dan membantu pemulihan pandemik.

    “Ekonomi akan beroperasi tanpa sekatan sekali lagi,” kata Tehan. “Pengalaman dan peluang yang bakal dinikmati warga Australia dan Britain menerusi inisiatif ini adalah hebat.”

    Perjanjian itu mungkin membantu usaha Britain untuk mengakses inisiatif perdagangan Lingkaran Pasifik, Perkongsian Komprehensif dan Progresif Rentas Pasifik, pakatan antara 11 buah negara yang juga termasuk Australia.

    UK ialah rakan perniagaan dua hala lapan terbesar Australia, bernilai hampir 27 bilion dolar Australia pada 2018. Ia juga merupakan rakan perniagaan perkhidmatan ketiga terbesar Australia, dengan eksport perkhidmatan Australia dinilai pada 5.5 bilion dolar Australia dan import berjumlah 9.2 bilion dolar Australia pada tahun yang sama. – AP

    Gambar fail menunjukkan Boris Johnson (kanan) berjalan bersama Scott Morrison selepas mesyuarat mereka di 10 Downing Street di London. Australia dan Britain memeterai perjanjian perdagangan bebas kelmarin, yang akan menghapus hampir kesemua cukai ke atas eksport di antara dua negara itu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda