Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Australia, UK setuju kerjasama capai pelepasan sifar karbon 2050

    APIA, 25 OKT – Australia dan United Kingdom (UK) telah mengeratkan hubungan dengan bersetuju untuk bekerjasama dalam perubahan iklim dan inisiatif tenaga, menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050, di samping mengesahkan komitmen bersama mereka untuk membangunkan kapal selam nuklear bagi kedua-dua buah negara di bawah perjanjian AUKUS.

    Perkongsian Iklim dan Tenaga diumumkan selepas perbincangan antara Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, mengenai isu sampingan mesyuarat pemimpin Komanwel di Samoa, hari ini.

    Perkongsian itu menumpu pada mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen hijau dan angin luar pesisir dengan berkongsi teknologi dan inovasi.

    “Perkongsian ini akan memastikan kami memaksimumkan potensi ekonomi peralihan sifar dan menjalin kerjasama mengenai tindakan iklim antarabangsa dan komitmen bersama untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050,” kata Albanese dalam satu kenyataan, hari ini.

    Walau bagaimanapun, kenyataan itu hanya menjurus kepada perkara khusus dan berkemungkinan tidak banyak tindakan akan diambil untuk meredakan kebimbangan beberapa pemimpin Pulau Pasifik, di mana negara kepulauan kawasan rendah berisiko tinggi terhadap kenaikan paras laut, dan kelmarin menyeru kedua-dua negara untuk mengambil lebih banyak tindakan bagi menangani perubahan iklim.

    Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), yang dihoskan oleh Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mata’afa, dijangka diakhiri dengan kenyataan kukuh mengenai perubahan iklim, menjelang sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada November. – AP

    Reaksi Keir Starmer (kiri) dan Albanese semasa majlis perasmian CHOGM di Apia, Samoa pada 25 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda