
SYDNEY, 25 MAC – Australia akan membina sebuah stadium berkapasiti 63,000 tempat duduk serta sebuah pusat akuatik tertutup yang mewah untuk Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, menurut pegawai kerajaan selepas membatalkan rancangan terdahulu yang mencetuskan perdebatan.
Perdana Menteri Queensland, David Crisafulli, mengumumkan beberapa peningkatan infrastruktur Olimpik, termasuk pembinaan Stadium Brisbane baharu di tengah bandar dan sebuah pusat akuatik yang mampu menampung 25,000 penonton.
“Akhirnya, Queensland mempunyai pelan yang jelas. Kini tiba masanya untuk bergerak ke hadapan dan kami akan melaksanakannya,” kata Crisafulli kepada pemberita.
Brisbane dianugerahkan hak penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032 pada Julai 2021, menjadikan Australia sebagai tuan rumah buat kali ketiga selepas Melbourne 1956 dan Sydney 2000.
Dua tahun lalu, kerajaan Queensland yang ketika itu diterajui Parti Buruh mengumumkan rancangan untuk menaik taraf gelanggang kriket terkenal, The Gabba, serta membina sebuah stadium tertutup berkapasiti 17,000 tempat duduk.
Bagaimanapun, Crisafulli membatalkan rancangan tersebut pada Selasa, dengan alasan Australia akan membazirkan ‘berbilion dolar’ untuk kemudahan sementara yang ‘tidak meninggalkan sebarang legasi jangka panjang’.
Stadium baharu berkapasiti 63,000 tempat duduk itu digambarkan sebagai sebuah venue ‘bertaraf dunia’ yang turut dijangka menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan utama pada masa akan datang.
Kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa kapasiti pusat akuatik nasional baharu itu boleh ditingkatkan kepada 25,000 tempat duduk dengan pemasangan tempat duduk sementara, bagi menganjurkan acara renang, terjun, polo air dan sukan lain.
Perkampungan utama atlet akan dibina berhampiran di Brisbane Showgrounds, manakala dua lagi perkampungan lebih kecil akan ditempatkan di Gold Coast dan Sunshine Coast.
Selain itu, beberapa venue sukan lain seperti Pusat Tenis Queensland dan Pusat Hoki Gold Coast turut akan dinaik taraf.
Walaupun kos rasmi masih belum diumumkan, Australia sebelum ini telah memperuntukkan kira-kira AS$4 bilion bagi pembangunan infrastruktur Sukan Olimpik 2032. – AFP