SYDNEY, 28 APRIL – Jawatankuasa Olimpik Australia hari ini memuji keputusan untuk mempercepatkan langkah vaksinasi untuk para atlet yang
akan menyertai Sukan Tokyo walaupun berdepan kritikan kerana mengambil jalan pintas untuk mendapatkan vaksin.
Kerajaan Australia lewat kelmarin telah mengumumkan bahawa kira-kira 2,000 atlet dan kakitangan akan mendapatkan vaksin segera sebelum pergi menyertai sukan tersebut yang dijadualkan akan bermula pada 23 Julai.
“Kami ingin melihat atlet kami menuju ke Tokyo untuk bertanding dan kemudian kembali ke Australia dengan selamat,” kata menteri kesihatan Greg Hunt.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Australia, Matt Carroll menyambut baik berita itu hari ini sebagai satu perkembangan baik untuk atlet dan pegawai – seperti dirinya – yang akan pergi ke temasya itu.
“Ini berita baik bagi atlet dan pegawai,” katanya, menegaskan kehadiran atlet tidak akan membebankan sumber awam.
Pelaksanaan program vaksinasi di Australia yang mempunyai lebih 25 juta penduduk itu bergerak perlahan dengan hanya kurang dua juta dos sahaja baru diberikan kepada penduduk.
Keputusan untuk mengutamakan pemberian vaksin kepada atlet Olimpik mendorong pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, dengan sebilangan mereka meluahkan perasaan tidak berpuas hati, di mana guru dan beberapa pekerja kesihatan masih menunggu untuk diberi vaksin sepenuhnya.
Sasaran untuk memberikan vaksin kepada seluruh penduduk pada bulan September atau Oktober kemungkinan akan terlewat dan beberapa penduduk yang rentan, seperti mereka yang tinggal dalam pusat penjagaan orang tua, juga belum divaksinasi sepenuhnya. – AFP
