VIENNA, 8 APRIL – Sebuah bandar di selatan Austria kelmarin menjadi kawasan pertama di negara itu yang telah mencatat suhu 30 darjah Celsius pada awal tahun ini, kata perkhidmatan cuaca negara.
Pengumuman oleh Institut Geologi, Geofizik, Meteorologi dan Klimatologi persekutuan Austria dibuat ketika negara-negara di seluruh dunia mengalami cuaca yang semakin ekstrem, yang disifatkan pakar sebagai pemanasan global.
Sebuah stesen pengukur di bandar Bruck an der Mur di wilayah tenggara Austria, Styria, mencatatkan suhu 30 darjah Celsius, menandakan ‘hari panas’ paling awal di negara Alpine itu, kata institut tersebut dalam satu kenyataan.
Perkhidmatan cuaca negara itu mentakrifkan ‘hari panas’ adalah di mana paras merkuri mencecah sekurang-kurangnya 30 darjah Celsius. Rekod kelmarin melepasi 10 hari rekod sebelumnya yang dicatat pada 17 April 1934 di Salzburg.
Suhu di negara-negara Eropah lain juga panas di luar musim sejak awal April, di mana Crete di Greece mencecah 31 darjah Celsius awal minggu ini.
Pakar mengingatkan pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau mungkin menyebabkan cuaca lebih ekstrem. – AP










