Friday, October 18, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Austria fail aduan terhadap ChatGPT

    VIENNA, 29 APRIL – Sebuah kumpulan kempen privasi yang berpangkalan di Vienna hari ini berkata ia akan memfailkan aduan terhadap ChatGPT di Austria, mendakwa alat Kecerdasan Buatan (AI) perdana itu sering ‘berhalusinasi’ mencipta jawapan yang salah, yang tidak dapat diperbetulkan oleh pencipta OpenAI.

    NOYB (None of Your Business) berkata tiada cara untuk menjamin program itu memberikan maklumat yang tepat.

    “ChatGPT terus berhalusinasi, malah OpenAI tidak boleh menghalangnya,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

    Syarikat itu secara terbuka mengakui ia tidak boleh membetulkan maklumat tidak tepat yang dihasilkan oleh alat AI generatifnya dan telah gagal menjelaskan dari mana data itu datang dan apa yang disimpan oleh ChatGPT tentang individu, kata kumpulan itu.

    Kesilapan sedemikian tidak boleh diterima untuk maklumat tentang individu kerana undang-undang Kesatuan Eropah (EU) menetapkan bahawa data peribadi mesti tepat, hujah NOYB.

    “Jika sistem tidak dapat menghasilkan keputusan yang tepat dan telus, ia tidak boleh digunakan untuk menjana data tentang individu,” kata Maartje de Graaf, peguam perlindungan data NOYB.

    “Teknologi perlu mengikut keperluan undang-undang, bukan sebaliknya,” tambahnya.
    ChatGPT ‘berulang kali memberikan maklumat yang salah’ mengenai tarikh lahir pengasas NOYB, Max Schrems ‘dan bukannya memberitahu pengguna bahawa ia tidak mempunyai data yang diperlukan’, kata kumpulan itu.

    OpenAI menolak permintaan Schrems untuk membetulkan atau memadam data walaupun ia tidak betul, sambil berkata ia adalah mustahil, tambah NOYB.

    Ia juga ‘gagal memberikan respons secukupnya’ kepada permintaannya untuk mengakses data peribadinya, sekali lagi melanggar undang-undang EU, kata NOYB dan firma itu ‘nampaknya tidak berpura-pura bahawa ia boleh mematuhi’. – AFP

    • Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda