VOELS, 27 APRIL – Di sebuah makmal di wilayah pergunungan Tyrol, Austria, para saintis menjalankan ujian DNA terhadap kira-kira 100 sampel madu setiap bulan untuk mengkaji komposisinya dan dalam sesetengah kes, untuk menentukan sama ada ia telah dicemari.
Dengan pasaran dibanjiri madu tiruan dan hanya beberapa makmal di Eropah yang menjalankan analisis sedemikian, syarikat kecil Austria, Sinsoma, mula menawarkan perkhidmatan ini dua tahun lalu.
“Ia benar-benar sesuatu yang baharu untuk pasaran madu,” kata Corinna Wallinger, ketua jualan di Sinsoma.
Beliau menekankan teknologi mesti sentiasa berkembang, seiring dengan taktik pemalsu.
Menurut perundangan EU, madu tidak boleh dicampur dengan bahan seperti air atau sirap gula murah yang boleh menambah isipadunya. Namun ujian menunjukkan amalan ini sering berlaku.
Antara 2021 dan 2022, sebanyak 46 peratus madu yang diuji dalam satu siasatan EU semasa memasuki blok tersebut disyaki telah dicemari, meningkat daripada 14 peratus dalam tempoh 2015-2017.
Daripada jumlah yang mencurigakan itu, 74 peratus berasal dari China.
Bagi mengesan penipuan dengan lebih berkesan, agensi kesihatan dan keselamatan makanan Austria (AGES) buat kali pertama menggunakan ujian DNA tahun ini dan masih menilai keputusannya.
Rangkaian pasar raya Eropah, SPAR, turut menjalankan ujian DNA terhadap madu mereka. Madu yang diambil dari rak di Austria akhir tahun lalu telah dikembalikan selepas melepasi ujian DNA dan analisis lain.
Selain menipu pengguna, madu tiruan juga mengancam mata pencarian penternak lebah, yang sukar bersaing dengan harga rendah madu import yang sering merupakan campuran dari pelbagai negara dan mereka menuntut ujian yang lebih berkesan.
“Kami langsung tiada peluang,” kata Matthias Kopetzky, pemilik Wiener Bezirksimkerei, yang mengurus sehingga 350 sarang lebah di Vienna, sambil lebah berterbangan di sekelilingnya di sebuah padang rumput menghadap ibu kota.
Walaupun Kesatuan Eropah merupakan pengeluar madu kedua terbesar dunia selepas China, ia juga merupakan pengimport kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.
Kebanyakan import madu EU datang dari Ukraine, China, dan Argentina, menurut data EU.
Arahan EU yang diterima pakai tahun lalu menetapkan bahawa label madu mulai pertengahan 2026 mesti memperincikan negara asal, berbanding hanya menyebut “campuran madu EU dan bukan EU”.
Penternak lebah seperti Kopetzky berharap peraturan baharu ini akan meningkatkan kesedaran pengguna.
Brussels juga menubuhkan kumpulan pakar hingga 2028 untuk “menyeragamkan kaedah pengesanan pencemaran madu dan menjejak produk kembali ke pengeluar atau pengimport”.
Sinsoma di Austria kini pakar dalam ujian DNA.
“Madu dipenuhi dengan jejak DNA dan maklumat dari persekitaran di mana lebah mengumpul nektar. Setiap madu mempunyai profil DNA yang unik,” kata Wallinger.
Tambahnya lagi, jika sampel madu kekurangan kepelbagaian jejak DNA atau mengandungi DNA dalam jumlah tinggi daripada tumbuhan seperti padi atau jagung yang bukan sumber lebah ini menunjukkan madu tersebut tidak asli. -AFP
