SHANGHAI – Pada acara besar industri Auto Shanghai, tumpuan bukan lagi pada enjin berkuasa tinggi, sebaliknya pada teknologi canggih dan keselesaan penumpang.
Ratusan pengeluar kereta dan pembekal peralatan memenuhi ruang pameran, menampilkan model sarat dengan skrin, kerusi urut dan pelbagai ciri tambahan – termasuk teksi terbang.
Menghadapi persaingan sengit, pengeluar kereta China berusaha menarik pengguna dengan menawarkan skrin sehingga 65 inci di hadapan setiap penumpang, pada pintu, visor matahari atau bahkan pada bonet kereta.
Gergasi elektronik seperti Huawei dan Xiaomi pula menyasarkan pengguna muda yang mudah menghubungkan telefon pintar ke dalam sistem kenderaan mereka.
Pengeluar Eropah cuba menyaingi pesaing China, antaranya model pertama jenama AUDI yang memfokuskan pasaran China dengan skrin memenuhi seluruh papan pemuka.

Ketika kereta tidak bergerak, skrin ini boleh digunakan untuk menonton video atau berkaraoke. Di atas jalan, sistem pemanduan pintar menjanjikan perjalanan dari titik A ke B tanpa perlu menyentuh stereng kecuali semasa kecemasan.
Menurut firma perunding McKinsey dalam laporan 2025 mengenai cita rasa pengguna automotif China, “Dengan kebangkitan pemanduan pintar, kereta tidak lagi sekadar alat pengangkutan, tetapi menjadi ruang kediaman kedua.”
Pengguna China memberi lebih keutamaan kepada keselesaan dalaman berbanding pasaran lain. Pengunjung Auto Shanghai beratur untuk mencuba minivan mewah dengan jeriji radiator krom dan tempat duduk belakang boleh baring.
Mercedes memperkenalkan prototaip minivan elektrik mewah Vision V, lengkap dengan tempat duduk aluminium, hiasan kayu dan sutera, serta skrin panggung wayang yang boleh keluar dari lantai.
Ciri berorientasikan gaya hidup seperti peti sejuk, televisyen, tempat duduk boleh baring, sistem gantungan canggih dan stereng roda belakang menjadi buruan pengguna China, menurut McKinsey. “Apabila harga kenderaan meningkat, permintaan terhadap ciri-ciri ini turut meningkat, berserta kesediaan untuk membayar lebih,” katanya. Pengeluar kereta China Nio mendemonstrasikan keberkesanan sistem gantungan dengan membiarkan penumpang melantun dalam kereta mereka.
Pendekatan tradisional juga digunakan. Pengeluar peralatan Perancis, Forvia, menampilkan tempat duduk yang boleh me-nguli, mencubit dan mencucuk penumpang – diinspirasikan oleh urutan tradisional Cina dan Thai. Tempat duduk itu dijangka digunakan dalam kenderaan buatan China tahun ini.
China kini pantas mendahului dalam teknologi eVTOL, bersaing secara langsung dengan Amerika Syarikat, manakala pemain Eropah masih bergelut.
Pembekal automotif Wanfeng mengumumkan bulan lalu bahawa ia akan mengambil alih pengeluar eVTOL Jerman, Volocopter, yang muflis – syarikat yang pada asalnya merancang pelancaran kecil semasa Olimpik Paris 2024 namun masih menunggu pensijilan. – AFP