SHANGHAI, 18 APRIL – Pameran Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyediakan platform untuk penggiat industri automotif mempamerkan produk dan teknologi baharu, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan pasaran dan merangsang penggunaan kenderaan.
Bermula dari 18 hingga 27 April, pameran auto berprestij dunia itu akan memperkenalkan trend transformasi tenaga alternatif.
Di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di sini, terdapat sembilan dewan disediakan untuk mempamerkan kereta penumpang terbaharu dari seluruh dunia dan tiga lagi khusus untuk teknologi automotif dan produk rantaian bekalan yang paling canggih.
“Kesemua dewan NECC seluas 360,000 meter persegi dipenuhi kereta baharu yang diperkenalkan 1,000 buah syarikat automotif,” kata Pengerusi Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa Shanghai, Zhou Minhao.
Menurut beliau, lebih daripada 1,500 kenderaan lengkap akan dipamerkan dan kenderaan tenaga alternatif menyumbang kira-kira dua pertiga daripadanya.
Selain itu, pameran berkenaan akan mempamerkan sebanyak 150 unit kereta baharu buat kali pertama.
Presiden Persatuan Industri Automotif Jerman, Hildegard Muller memuji Auto Shanghai sebagai cerminan perkembangan pesat industri auto China dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – Bernama


