AVOKADO merupakan sejenis buah yang unik. Buah yang memiliki nama saintifiknya Persea Americana ini tinggi dengan lemak yang menyihatkan.
Malah pelbagai kajian menunjukkan bahawa avokado mempunyai kesan kebaikan hebat kepada kesihatan.
Pada masa dahulu, avokado turut dikenali dengan nama alligator pear, vegetable butter atau kadangkala butter pear.
Buah tersebut boleh ditanam dalam pelbagai lokasi geografi tetapi secara semula jadinya ia berasal dari kawasan Mesoamerican.
Nama Inggeris avokado dikatakan diambil daripada ahuacatl iaitu nama Nahuatl yang bermakna testikel (berikutan dengan bentuknya).
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M10-D_061117.jpg)
Dikatakan juga avokado dipenuhi dengan zat-zat seperti serat pemakanan, vitamin B6, vitamin C, vitamin E, kalium (potassium), magnesium dan folat. Buah ini juga bebas kolestrol dan sodium (garam).
Avokado mengandungi kira-kira 60 peratus lebih kalium per aun daripada pisang. Malah buah ini juga merupakan sumber terbaik kepada lemak mono tak tepu. Terdapat banyak sebab yang membolehkan anda untuk memakan avokado setiap hari untuk penjagaan kesihatan.
Melindungi mata
Avokado merupakan sumber terbaik lutein, sejenis karotenoid yang bertindak sebagai antioksidan dan membantu untuk melindungi mata daripada penyakit mata. Ia juga turut mengandungi karotenoid zeaxanthin, alpha-karotena, beta karotena dan tocopherol (vitamin E).
Bantu tubuh serap karotenoid
Bukan sahaja kaya dengan sumber karotenoid. Ia juga boleh membantu anda untuk mendapatkan lebih khasiat daripada makanan-makanan lain.
Karotenoid adalah lipophilic (larut dalam lemak, bukan air).
Jadi dengan memakan makanan penuh karotenoid seperti buah dan sayuran bersama-sama dengan buah avokado yang kaya dengan lemak tak tepu membantu tubuh menyerap karotenoid.
Cara paling mudah untuk melakukan perkara ini adalah dengan menghiris buah avokado ke dalam campuran salad.
Sistem penghadaman berjalan lancar
Dikatakan setengah buah avokado mengandungi kira-kira 3.4 gram serat termasuklah jenis larut dan tidak larut yang diperlukan oleh tubuh bagi memastikan sistem penghadaman berjalan dengan lancar.
Selain itu, serat larut memperlahankan pemecahan karbohidrat dalam tubuh sekali gus membantu anda rasa penuh dan kenyang lebih lama.
Mudah kenyang
Buah avokado turut mengandungi asid oleik, sejenis lemak yang mengaktifkan bahagian otak yang memberitahu perut sudah penuh dan kenyang.
Lemak tak tepu sihat mengandungi asid oleik telah menunjukkan untuk menghasilkan lebih rasa kenyang dibandingkan dengan lemak tak tepu kurang sihat dan lemak trans yang terdapat dalam makanan diproses.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M10-B_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M10-C_061117.jpg)
Melindungi anak kecil daripada risiko kecacatan
Secawan buah avokado menyediakan sekurang-kurangnya satu perempat daripada pengambilan folat yang dicadangkan.
Jika anda hamil atau merancang untuk hamil, dikatakan avokado akan membantu melindungi anak kecil yang akan dilahirkan daripada risiko kecacatan.
Pengambilan folat yang tinggi turut berkait dengan merendahkan risiko serangan jantung dan penyakit jantung.
Merendahkan kolestrol
Selain memberikan rasa kenyang, asid oleik dalam avokado dikatakan boleh mengurangkan tahap kolestrol.
Dalam satu kajian, individu yang memakan buah avokado mempunyai pengurangan signifikan dalam tahap kolestrol sepenuhnya, termasuklah pengurangan dalam kolestrol LDL.
Kolestrol tinggi adalah satu daripada faktor risiko utama untuk serangan jantung. Sifat-sifat merendahkan kolestrol dalam avokado serta kandungan folat, dikatakan mampu membantu memastikan jantung anda sihat.
Diguna sebagai krim kulit
Minyak yang diperoleh daripada ekstrak buah avokado dikatakan boleh digunakan sebagai krim kulit dan minyak urut. Penggunaannya dikatakan mampu memperbaiki kulit kusam dan tidak bermaya.
Kurangkan berat badan
Mereka yang makan avokado dengan kerap dikatakan mampu mengurangkan berat badan, memiliki BMI rendah dan kurang lemak perut.
Mereka juga dikatakan memiliki lebih banyak kolestrol baik atau HDL. Avokado juga tinggi serat dan amat rendah karbohidrat, dua faktor penyumbang kepada mengurangkan berat badan.