Oleh Salawati Haji Yahya –
Awang Damit bin Jahar, 73, masih mampu untuk meneruskan minat yang mendalam terhadap ubat-ubatan kampung di samping mencari pendapatan setelah bersara untuk menampung keperluan harian.
Beliau yang berasal dari Kampong Ayer, menjual ubat-ubatan kampung yang terdiri daripada kayu-kayu, daun-daun dan juga akar-akar pokok yang mempunyai khasiatnya.
Sifat ramah yang dimiliki beliau membuatkan gerai jualannya di Tamu Kianggeh, di ibu negara menjadi tumpuan bukan saja pengunjung tempatan malah pelancong dari luar negara juga tidak melepaskan peluang melihat lebih dekat ubat-ubatan tradisional yang dijualnya.
Beliau ketika ditemui penulis di gerainya menjelaskan, walaupun kita sudah memasuki era kemodenan, ubat-ubatan kampung yang sudah diamalkan dari zaman nenek moyang kita sehingga ke hari ini, masih saja ada yang menggunakan sebagai salah satu usaha untuk kesihatan badan.
Walaupun sambutannya tidak sehebat dahulu, Awang Damit tetap memilih untuk mengetengahkan produk tersebut disebabkan minat yang mendalam terhadap ubat-ubatan kampung.
Memilih untuk menjual ubat-ubatan kampung itu bukan semata-mata untuk berkongsi kebaikan dan khasiat sahaja dengan orang ramai, malah dalam masa yang sama memberi pendedahan kepada generasi masa kini yang mana ubat-ubatan tersebut satu ketika dulu merupakan salah satu kaedah yang digunakan orang-orang lama untuk menjaga kesihatan mereka.
Di samping menjual ubat-ubatan daripada kayu, daun dan akar-akar pokok, beliau turut menjual minyak yang dihasilkan sendiri dengan menggunakan beberapa bahan alami.
Minat yang mendalam dalam ubat-ubatan kampung itu bermula sejak usia belasan tahun lagi, di mana beliau juga pernah bekerja di bahagian pertanian dan dari sana beliau sedikit sebanyak mengetahui khasiat yang ada pada setiap pokok hutan.
Untuk menjadi mahir dalam bidang perubatan kampung ini, jelasnya, ia bukan saja bergantung kepada kepandaian, kerana walaupun sepandai mana pun seseorang tapi jika tidak mempunyai minat sesuatu perkara itu tidak akan berhasil.
Selepas saja bersara, beliau berhasrat untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang jualan selain menjadikan ia sebagai pendapatan selepas bersara dan usahanya itu telah membuahkan hasil seperti yang ada sekarang.
Katanya, setakat ini lebih 50 jenis ubat-ubatan daripada kayu, daun dan akar-akar pokok di jual di gerainya daripada ubatan untuk mandi dan minum, antaranya seperti akar Pangku, kulit kayu Mandap atau Serukai dan daun durian salat yang mana setiap ubat-ubatan itu mempunyai khasiatnya tersendiri.
Selain itu, pengunjung juga membeli herba yang dibuatnya daripada bahagian pokok di mana setiap bahagian dalam pokok mempunyai nilai perubatan.
“Ia boleh digunakan untuk membuat minyak urut tradisional, yang juga saya sediakan dengan merebus bahan pokok termasuk daun,” jelasnya.
Katanya lagi, “sesetengah herba baik untuk hipertensi dan kencing manis manakala yang lain mengeluarkan toksin atau racun daripada badan.”
Selain itu, turut menjadi perhatian pengunjung yang datang ke gerainya, pelbagai jenis kayu yang dijualnya ada yang dijadikan sebagai tongkat bagi mereka yang tahu akan kelebihannya.
Menurutnya lagi, batang kayu Tunjang Pipit Angin dipercayai boleh menjadi penawar angin atau angin yang tidak baik. “Ini adalah kepercayaan dan amalan dari zaman dahulu tapi kita mengambilnya sebagai salah satu usaha untuk berubat,” jelasnya.
Untuk mempelbagaikan lagi produk jualanya, beliau turut menjual gelang rekaan sendiri daripada kayu seperti kayu Bidara, kayu Antu, kayu Merungai dan Limpanas yang mempunyai manfaat kesihatan dan dipercayai melindungi si pemakai.
Kegigihannya untuk mengetengahkan produk jualannya, beliau mula membuka gerainya seawal pukul 7 pagi hinggalah ke waktu tengah hari.
Walaupun sudah mempelajari tentang ubat-ubatan kampung ini sejak usia belasan tahun lagi, tapi beliau tetap terus mempelajari tentang ubat-ubatan kampung sehingga ke hari ini.