Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Awang Markim bin Haji Rahman muncul juara dalam Perlumbaan Memerhati Burung Brunei 2019 (BBRS) dan diraikan pada Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Perlumbaan Memerhati Burung Brunei 2019, Edisi Bandar Seri Begawan (Edisi BSB) yang berlangsung di Bilik VIP, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.
Pada majlis itu, Awang Markim dinobatkan juara perlumbaan di mana beliau berjaya memperoleh sebanyak 26 spesies burung dan membawa pulang trofi juara Edisi BSB, kamera Powershots X740hs dan baucar penginapan untuk satu malam di Hotel The Lanes, Pekan Tutong.
Sementara itu, tempat kedua berjaya mendapat sebanyak 24 spesies burung ialah Eric Chong yang membawa pulang hadiah naib juara Edisi BSB, kamera Canon IXUS 190 dan baucar penginapan satu malam di Hotel The Lanes, Pekan Tutong.
Tempat ketiga dimenangi oleh Awang Norsah bin Haji Kassim yang berjaya mendapat sebanyak 23 spesies burung dan membawa pulang trofi tempat ketiga Edisi BSB, pencetak Canon PIXMA E510 dan baucar penginapan satu malam di Hotel The Lanes, Pekan Tutong.
Acara yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Pelancongan yang berlangsung pada 14 April lalu, di sekitar kawasan BSB itu disertai oleh seramai 15 orang peserta di mana sepanjang pertandingan kira-kira 4 jam itu, para peserta telah berjaya mengambil foto sejumlah 63 spesies burung di kawasan ibu negara.
Edisi perlumbaan BBRS 2019 seterusnya yang lebih menarik akan diadakan pada penghujung Julai nanti, bermula di Taman Warisan ASEAN Tasek Merimbun dan para peserta akan memerhati spesies burung di sekitar kawasan Mukim Lamunin, Daerah Tutong.