Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awas, jangan mudah terpedaya dan terpengaruh

    Temu bual wartawan Media Permata bersama bekas penghuni Pusat Al-Islah setelah menjalani kursus pemulihan di pusat berkenaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN – Hampir lima bulan sudah berlalu selepas menamatkan kursus dari Pusat Al-Islah, Awang Hisham (bukan nama sebenar) 43 tahun, masih ingat pertama kali dimasukkan ke dalam Pusat Al-Islah untuk menjalani kursus pemulihan selama 2 tahun.

    Ketika itu merupakan kenangan yang paling pahit buat dirinya kerana terpaksa meninggalkan isteri dan anak-anaknya.

    Semasa permulaan memasuki pusat itu beliau telah memasuki sesi detoksifikasi selama dua minggu dan dari situ, beliau benar-benar sedar segala perkara yang dilakukan adalah salah apatah lagi beliau sendiri melupakan tanggungjawab sebagai seorang lelaki,ketua dan pemimpin dalam keluarganya.

    Kegiatan kurang sihat itu bermula sejak awal lagi namun secara perlahan, beliau berkecimpung dalam aktiviti Syabu, dan detik ini bermulalah perubahan yang drastik dalam kehidupan Awang Hisham.

    Beliau mula berubah menjadi seorang yang kuat beremosi, pemarah dan ada kalanya kurang siuman.

    Awang Hisham berkata bahawa beliau merupakan seorang yang pemalas untuk bekerja, setelah menamatkan perkhidmatannya di salah sebuah syarikat, Awang Hisham menjadi seorang penganggur yang hanya menghantar anak dan isteri pergi sekoalh dan bekerja.

    Ketika ini, Awang Hisham sahaja berjinak-jinak dengan dadah yang dikenali sebagai syabu, dikenali dari rakannya yang mengatakan ‘barang’ berkenaan mampu membuat diri rajin bekerja apatah membuat aktiviti rumah.

    Ketika itu, beliau masih belum tahu akan kesan sampingan dadah berkenaan yang sangat membahayakan diri mahupun orang lain.

    Perbuatan beliau tidak diketahui oleh keluarga beliau sehingga beliau menerima surat tangkapan arahan daripada pihak atasan.

    Secara perlahan, kelakuan beliau menjadi berubah kepada seorang yang selalu menyendiri, cepat marah dan juga sangat agresif. Awang Hisham ditangkap beberapa bulan kemudian dan dimasukkan ke Pusat Al-Islah pada tahun 2015 atas perintah mahkamah.

    Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menasihati agar kita tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan hasutan orang.

    “Bagi remaja-remaja yang baru berjinak-jinak dalam kehidupan sosial, hindari perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan, hindari syabu, jauhi dadah kerana benda ini tidak memberi manfaat malah memberikan penyakit.” Awang Hisham ketika berada di Pusat Al-Islah telah mempelajari empat struktur penting yang mana keempat-empat struktur itu memberikan kesedaran kepadanya iaitu mementingkan tanggungjawab kepada keluarga dan perlu mendekatkan diri kepada Allah.

    Beliau merasa sangat-sangat menyesal kerana mensia-siakan kehidupannya selama dua tahun. Alhamdulilah, ahli keluarga masih lagi menerimanya terutama isterinya yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan.

    Beliau bersyukur kerana mempunyai isteri yang setia dan sabar menunggu kepulangannya. Malah beliau merasa lebih rapat dan mesra berbanding sebelumnya.

    Wartawan Media Permata ketika menemu bual beliau, juga menyentuh mengenai pengalaman pahit manis ketika menyambut bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Beliau berkata bahawa semasa tahun pertama berada di Pusat Al-Islah merupakan hari yang sangat sedih dalam kehidupannya apatah lagi di bulan yang penuh keberkatan tanpa isteri dan juga anak. Kerinduan yang dalam sentiasa bermain di minda sambil menggambarkan wajah isteri dan anak-anak setiap hari.

    Alhamdulillah, Pusat Al-Islah juga memberikan ruang sedikit untuk kami bertemu dengan ahli keluarga di bulan Ramadan dan juga Hari Raya Aidilfitri. Kuih muih kegemaran dan juga juadah hari raya dibawa untuk dinikmati bersama ahli keluarga ketika sesi lawatan Hari Raya.

    Walaupun waktu lawatan tidak mencukupi untuk kami beramah mesra, akan tetapi ia sudah memadai menghilang rasa rindu, dan memohon kemaafan.

    Wartawan Brunei Press menemu bual salah seorang bekas penghuni Pusat Al-Islah.
    Wartawan Brunei Press menemu bual salah seorang bekas penghuni Pusat Al-Islah.

    Keluarga harmoni rahsia kebahagiaan

    Apabila dimasukkan ke dalam Pusat Al-islah, rasa sedih, menyesal yang teramat sangat, dan rindu kepada keluarga, ayah dan ibu bercampur baur dalam hati dan fikiran, apabila datangnya Bulan Ramadan yang mulia. Awang Abu (bukan nama sebenar) menyedari sangat merindui keluarga beliau, sehingga meneteskan air mata tanpa disedarinya.

    Menurut beliau, saya menyedari betapa penting ahli keluarga di dalam kehidupan kita, tanpa mereka siapa lah kita. Hanya pada waktu dulu, nasihat mereka tidak didengar dan teguran mereka menjadi seperti teguran biasa sahaja.

    Beliau mula berkecimpung dalam aktiviti dadah sejak tahun 2010 dan menjadi pengguna dan penjual, ini adalah kerana tidak bekerja dan perlu menyara diri sendiri.

    “Setelah memasuki pusat Al-Islah perasaan sedih, takut dan gembira juga terasa di dalam hati, kerana takut dihina, sedih meninggalkan keluarga, dan gembira akhirnya berjaya berubah menjadi seseorang yang baik dengan bantuan pusat berkenaan”.

    Beliau menasihati agar kita sebagai masyarakat berugama Islam tidak lula dengan solat dan ingatkan Allah Swt. Dari sana kita akan ingat akan tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga, jelas beliau ketika ditemu bual.

    Beliau mempunyai harapan yang sangat tinggi dahulu, dan ingin dicapai akan tetapi kali terpaksa memulakan dari awal. Apa yang diharapnya adalah beliau ingin mendapatkan pekerjaan untuk mencari pendapatan untuk menyara ibu bapa dan mengembalikan kepercayaan keluarga kepadanya.

    Beliau berkata kepada Media Permata, di mana beliau merasa amat bersyukur kepada Allah SWT kerana memilihnya untuk bertaubat dan berubah serta diterima oleh sanak keluarga dekat mahupun jauh. Beliau berharap orang ramai tidak akan memandang serong kepada mereka atau bekas-bekas penagih dadah.

    “Kami benar-benar mahu berubah dan dapat diterima oleh masyarakat. Kami berharap orang ramai terutama ahli keluarga dan kawan-kawan akan sentiasa membagi semangat kepada kami termasuk residen-residen yang masih menjalan rawatan” katanya dengan raut wajah menaruh harapan agar diterima kembali seperti sediakala dan menjalankan kehidupan dengan sempurna dan bahagia bersama keluarga tersayang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda