Ketika saya sedang berjalan menuju ke kereta di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya, saya terlihat insiden yang cukup membimbangkan.
Sepasang suami isteri sedang berjalan di hadapan, manakala anak mereka yang masih kecil mungkin berumur sekitar tiga atau empat tahun berlari-lari kecil melintasi lorong jalan di antara kenderaan tanpa sesiapa memantaunya.
Ketika itu, sebuah kereta sedang perlahan-lahan masuk ke ruang letak kereta berhampiran, namun nasib baik pemandunya segera menekan brek kerana terkejut melihat anak kecil itu tiba-tiba melintas.
Sebagai pemerhati, saya berasa sangat bimbang dengan kelalaian ibu bapa budak berkenaan.
Tempat letak kereta bukanlah kawasan yang selamat untuk kanak-kanak bergerak bebas, lebih-lebih lagi jika mereka masih terlalu kecil untuk memahami bahaya sekeliling.
Sikap alpa seumpamanya walaupun sesaat boleh mengundang tragedi yang tidak diingini.
Pada pendapat saya, ibu bapa perlu sentiasa menggenggam tangan anak-anak mereka ketika berada di kawasan yang melibatkan kenderaan. Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab mutlak ibu bapa, bukan orang lain.
Sebagai cadangan, pihak pengurusan pasar raya juga boleh memainkan peranan dengan menambah papan tanda peringatan berkenaan keselamatan kanak-kanak di kawasan parkir serta memperbanyakkan bonggol jalan dan cermin jalan untuk membantu pemandu melihat di celah, tepi mahu pun belakang kenderaan.
Keselamatan bukan perkara kecil. Satu kesilapan boleh menyebabkan sesalan seumur hidup.
Warga prihatin
