Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Awasi Anak Kitani’

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Seramai 100 orang peserta telah menyertai Program Awasi Anak Kitani (AAK) anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Mentiri , hari ini.

    Program berkenaan adalah dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Syarikat IT Protective Security Services (ITPSS) Sdn Bhd.

    Pada majlis tersebut, Pegawai Penerangan, Awang Muhd Khairulhadi bin Haji Muhtaddir selaku pengerusi program menyatakan matlamat negara, bebas dadah dan gejala sosial itu hanya dapat dicapai dengan penglibatan semua masyarakat.

    “Masyarakat memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan masyarakat yang positif. Tetapi kita mesti berusaha lebih gigih jika kita ingin terus melindungi orang yang kita kasihi daripada dadah dan gejala sosial,” ujar beliau.

    Beliau menambah, matlamat negara tidak boleh dicapai tanpa keselamatan dan keamanan yang merupakan blok binaan asas utama bagi mana-mana masyarakat dan setiap pihak mempunyai peranan untuk menjayakan usaha ini bagi membina masyarakat yang selamat untuk anak-anak.

    Antara peserta yang hadir pada Program Awasi Anak Kitani bagi Mukim Mentiri.
    Awang Muhd Khairulhadi ketika menyampaikan ucapan alu-aluan. – Gambar oleh Infofoto

    Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan taklimat dari BKN mengenai keburukan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat yang semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius.

    Pada taklimat itu juga, tindakan dalam menghadapi anak-anak yang telah terjerumus dalam aktiviti tidak sihat itu juga turut dikongsi bersama.

    Manakala taklimat kedua pula disampaikan oleh JKDN yang menyentuh mengenai tugas dan tanggungjawab jabatan berkenaan termasuk isu-isu keselamatan dalam negeri di bawah pemantauannya.

    Taklimat ketiga disampaikan oleh wakil dari Syarikat ITPSS Sdn Bhd yang mengongsikan mengenai tips pengguna bijak dalam penggunaan teknologi termasuk panduan ibu bapa dalam mengawasi penggunaan IT di kalangan anak-anak.

    Program berkenaan telah dihadiri oleh Penghulu Mukim Mentiri, Pengarah Haji Abdul Rahman bin Haji Naim serta ahli majlis perundingan mukim dan kampung, ahli pengawasan kejiranan kampung, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, takmir masjid dan Muslimah serta penduduk mukim tersebut.

    Program ini diwujudkan bagi menambah dan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa tentang pencegahan dan mengawal anak masing-masing daripada penyalahgunaan dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri. Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengawasi anak masing-masing agar tidak terjerumus dengan perangkap dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda