Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awasi fenomena kepala air ketika riadah di sungai, air terjun

    KUALA LUMPUR – Kawasan rekreasi dan ekopelancongan yang mempunyai air terjun dan sungai kini kembali menjadi tumpuan ramai sebaik sahaja Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Malaysia dilonggarkan bagi beberapa negeri termasuk di Lembah Klang.

    Namun, dalam keterujaan bermandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan, ada yang alpa terhadap aspek keselamatan menyebabkan isu kes lemas di sungai dan air terjun menjadi bahan berita saban hari.

    Antaranya, di Hulu Selangor sahaja, sudah ada dua kes terperangkap di sungai akibat fenomena kepala air iaitu pada 17 September dan 19 September lalu.

    Insiden itu membabitkan tujuh orang lelaki di Sungai Kedondong, Batang Kali dan seorang lelaki terperangkap selama kira-kira 20 minit di seberang sungai dekat Jalan Batang Kali-Genting.

    Susulan daripada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengenal pasti lapan lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai dan mengisytiharkan sebagai kawasan berisiko berlaku ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.

    Namun, masih ada yang mencuri-curi menyelinap ke dalam hutan untuk beriadah di kawasan air terjun seperti yang dilaporkan oleh media tempatan pada Selasa 28 September lepas. Dalam laporan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menahan 56 orang individu yang mendaki Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran pada 25 September lepas.

    Pegawai Jabatan Mineral dan Geologi Kelantan Muhammad Yusri Naim Mohd Yusof menunjukkan sampel tanah yang diambil selepas bencana kepala air ketika Lawatan Koordinasi Geosains Malaysia (MGCC) ke Tapak Kejadian Aliran Puing di Gunung Jerai di Titi Hayun bulan lalu. – Bernama

    Fenomena kepala air

    Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim), Datuk Dr Md Nasir Md Noh ketika memberi pandangan mengenai fenomena kepala air berkata, kebanyakan kawasan sungai di Malaysia berisiko tinggi untuk berlakunya fenomena sedemikian, terutamanya ketika hujan lebat.

    “Apatah lagi dengan perubahan iklim yang sedang melanda dunia termasuk negara kita sekarang, yang menyebabkan perubahan iklim berlaku dengan ekstrim dan sukar dijangka.

    Mungkin kita lihat pada tengah hari cuaca baik tetapi ia boleh berubah dalam sekelip mata dengan taburan hujan yang tinggi.

    “Rujuk kepada ramalan cuaca sebelum merancang kunjungan ke kawasan ekopelancongan bersama keluarga. Bersedia dengan peralatan keselamatan dan kenal pasti kawasan dikunjungi berisiko ataupun tidak,” katanya ketika sesi webinar ‘Fenomena Kepala Air Dalam Kawasan Ekopelancongan’ anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Webinar itu turut menampilkan ahli panel lain iaitu Timbalan Pengarah Pusat Serantau Tropika Lembap Hidrologi dan Sumber Air Bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Jabatan Pengaliran dan Saliran Dr Norlida Mohd Dom dan moderator Pengarah Bahagian Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri JPSM, Mohd Yussainy Md Yusop.

    Menurut Md Nasir, kejadian kepala air berlaku apabila tanah yang lemah mendapat beban atau diganggu dan tepu dengan air, mengalir ke cerun sebagai tindak balas graviti apabila hujan lebat.

    “Kebiasaannya, aliran puing ataupun debris flow ini bermula dari hulu di kawasan pergunungan, mempunyai halaju (hala laju) yang tinggi iaitu 14 hingga 15 meter sesaat terutamanya di kawasan ekopelancongan, dan menyebabkan perubahan morfologi signifikan di sepanjang dasar sungai dan lereng gunung.

    “Apabila fenomena kepala air berlaku, ia akan membawa kepada kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa seperti mana yang berlaku di Gunung Jerai, Kedah pada 18 Ogos lalu,” katanya.

    Beliau menambah, kebiasaannya, fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal, antaranya perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air tenang bertukar deras selain sampah-sarap berkumpul di satu tempat.

    “Kepala air ini dalam lima hingga 10 minit boleh naik satu hingga dua meter, air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat, sangat laju.

    “Ada kalanya akan kedengaran bunyi letupan kuat, sama ada akar pokok tidak stabil, menyebabkan tanah pecah dan pokok tumbang.

    Apa yang berlaku kemudiannya kayu dan sisa akan menuju ke arah mereka.

    “Jika terdengar bunyi letupan kuat ataupun apa-apa bunyi kuat luar biasa ketika bermandi-manda di sungai atau air terjun, segera tinggalkan kawasan sungai itu demi keselamatan,” nasihat beliau.

    Langkah keselamatan di kawasan ekopelancongan

    Nahrim, menurut Md Nasir sedang mengkaji keberkesanan teknologi Empangan Sabo yang digunapakai di luar negara seperti Jepun, Indonesia, Nepal dan Filipina sebagai struktur mitigasi bencana kepala air dan pencegahan hakisan di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

    “Kami turut berhubung dengan Kedutaan Jepun dan Institut Pendidikan di Jepun untuk membantu mengenal pasti kawasan sesuai untuk dipasang. Setakat ini, dua kawasan yang dicadangkan iaitu di kaki Gunung Kinabalu, Sabah dan Yan, Kedah.

    “Antara kelebihan pemasangan Empangan Sabo adalah mengawal aliran kayu, batu dan sedimen, menstabil tebing dan dasar sungai, memelihara cerun dan biodiversiti serta untuk keselamatan setempat.

    “Faktor pemilihan lokasi pembinaan Empangan Sabo adalah alur sungai relatif yang lurus dan lebar, tebing sungai yang tinggi dan kebolehupayaan tanah yang baik, ” katanya.

    Md Nasir berkata, Pelan Pengurusan dan Pemantauan secara bersepadu dalam pengurusan kejadian kepala air perlu diwujudkan di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri bagi menangani fenomena itu dengan berkesan.

    Antara tindakan yang disyorkan menerusi pelan ini adalah memasang papan tanda amaran kejadian kepala air, sistem ramalam dan amaran secara ‘real-time’, serta sistem pemantauan sensor pergerakan tanah dan CCTV bagi pengesanan awal di kawasan kritikal.

    “Selain itu, perlu dibangunkan Debris Flow Forecasting and Warning System dan mewujudkan kumpulan pasukan petugas untuk memantau kejadian kepala air,” katanya, sambil menambah, kaedah pelan pencarian, menyelamat serta pemindahan semasa kejadian kepala air perlu disediakan mengikut kepentingan dan keselamatan pelancong serta penduduk setempat.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menyarankan pembinaan lorong kecemasan untuk pengunjung melarikan diri dari kawasan sungai atau air terjun yang berlaku kejadian kepala air serta perkongsian data dengan kerjasama pelbagai agensi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda