Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awi Rafael beri nafas baharu lagu nasyid popular UNIC

    Penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael, 37, kembali mempertaruhkan bakatnya dengan memberi nafas baharu kepada lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang pernah dipopularkan kumpulan nasyid, UNIC pada 2002.

    Awi atau nama sebenar, Muhammad Nabawi Erwan Gunawan Rafael berkata, susunan lagu itu sudah digubah dengan mengikut muzik berbeza dan disampaikan dalam versi tersendiri, malah mengakui selesa ketika menyanyikannya, lapor BH Online.

    “Lagu ini adalah sepenuhnya versi dari saya sendiri. Saya turut sertakan kajian daripada versi yang pernah disampaikan oleh artis asal. Saya sangat selesa dalam membawakan lagu ini kerana ia sangat unik.

    “Ini adalah lagu nasyid yang popular pada zamannya dan saya menganggap sebagai cabaran baharu.

    “Bukan mudah untuk gubah lagu ini dengan susunan muzik yang lebih moden seperti pop rock dan teknik nyanyian yang baharu,” kata pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-28 menerusi single duet bersama Altimet berjudul Kalau Aku Kaya ini.

    Diterbitkan Alternate Records & Talents, Hanya Tuhan Yang Tahu juga menjadi runut bunyi bagi drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah yang akan disiarkan TV3, tidak lama lagi.

    Awi berkata, pembikinan lagu berkenaan hanya mengambil masa dua minggu dengan hasil pertolongan dan nasihat daripada syarikat rakaman termasuk produksi drama berkenaan.

    “Saya sangat bersyukur mendapat nasihat daripada syarikat rakaman dan produksi drama kerana ia sangat memudahkan saya untuk mencapai hasil akhir lagu versi baharu ini.

    Awi bukanlah asing dalam industri muzik tanah air apabila pernah menjadi artis solo pertama dari Asia merakamkan lagu di Abbey Road Studios iaitu antara studio muzik paling unggul di dunia. – Agensi

    Awi menbuat susunan lagu Hanya Tuhan Yang Tahu mengikut muzik berbeza dan disampaikan dalam versi tersendiri. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda