Monday, March 31, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Awie mahu perlahankan kerjaya seni

    Merancang memperlahankan kerjaya seni dalam tempoh 10 tahun akan datang, penyanyi Datuk Awie akur sekiranya ada vokalis baharu menggantikan tempatnya dalam kumpulan Wings.

    Namun kata Awie atau Ahmad Azhar Othman, 57, dia perlu memastikan penggantinya itu benar-benar berkemampuan membawa karya-karya Wings bersama anggota lain, menurut laporan mStar.

    Ini kerana jenama kumpulan itu sudah cukup kuat selepas 40 tahun berada dalam industri seni.

    “Saya sendiri akan menilai penyanyi itu nanti. Wings adalah satu jenama. Saya perlu melihat keserasian penyanyi itu supaya sesuai.

    “Saya tidak ada masalah jika ada penyanyi baru.Saya reda. Jika lebih baik boleh diteruskan,” katanya.

    Awie berkongsi perkara tersebut dalam satu majlis berbuka puasa anjuran syarikat miliknya iaitu Rumah Produksi Merah yang berlangsung di Petaling Jaya kelmarin.

    Tambah penyanyi ini perancangan itu bukan bermaksud dia mahu terus bersara atau meninggalkan bidang nyanyian.

    Lebih memberi fokus kepada kerja di belakang tabir, Awie juga mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.

    “Saya tak boleh berhenti menyanyi sebab itu adalah rezeki. Mungkin saya akan kurangkan mencari aktiviti seperti konsert untuk diri sendiri.

    “Selama ini saya yang buat kerja dan menyanyi. Jadi masa untuk keluarga agak terbatas. Biarlah saya ada peluang untuk rehat sebelum sakit,” ujarnya.

    Selain Awie kumpulan ini turut dianggotai oleh Syam (gitar), Edrie (gitar), Edie (bes) dan Black (dram). – Agensi

    Awie akan terus aktif dengan kerja belakang tabir. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda