Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Axelsen, Ratchanok semarak saingan Masters Malaysia 2024

    KUALA LUMPUR, 17 MEI – Kejohanan badminton Masters Malaysia 2024 berlangsung di Axiata Arena pada 21 hingga 26 Mei ini, menjanjikan saingan hebat dengan kehadiran dua jaguh hebat, Viktor Axelsen dari Denmark dan wakil Thailand, Ratchanok Intanon.

    Juara perseorangan lelaki edisi 2018 serta juara perseorangan wanita dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 itu dijangka memberikan saingan sengit dalam usaha mereka untuk merampas kembali gelaran pada edisi kali ini.

    Axelsen, 30, juga menjadi tumpuan apabila juara dunia dua kali (2017, 2022) itu belum meraih sebarang gelaran sepanjang tahun ini dengan pencapaian terbaiknya mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Kejohanan Badminton Eropah.

    Namun, pemain nombor satu dunia dan juara Olimpik itu akan menghadapi tentangan daripada pemain ternama lain seperti rakan senegara Anders Antonsen yang menduduki ranking keempat dunia, Li Shi Feng dari China (enam), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (lapan) dan Loh Kean Yew dari Singapura (13).

    Tidak ketinggalan cabaran wakil tempatan yang diketuai pemain ke-10 dunia, Lee Zii Jia yang masih belum mencipta kejayaan di laman sendiri.

    Ratchanok yang turut bergelut dengan prestasi apabila hanya memenangi satu kejuaraan Master Sepanyol tahun ini, tentunya mahu memperbaiki ranking dunianya yang kini di tangga ke-12 sebelum Olimpik Paris bermula 26 Julai ini.

    Namun, hasratnya untuk memburu gelaran kedua Masters Malaysia menyaksikan laluan berliku dengan kehadiran dua pemain China, Han Yue (tujuh) dan Wang Zhi Yi (lapan) selain wakil Amerika Syarikat, Zhang Beiwen (14) dan PV Sindhu dari India (14). – Bernama 

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...