TOULON, 14 APRIL – Lari daripada membayar bil di restoran bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi berbuat demikian kira-kira 100 kali dalam jangka masa 3 tahun sudah pasti memerlukan taktik yang hebat.
Pada 3 April lalu, polis di Toulon, Perancis, menahan seorang lelaki berusia 48 tahun dan anaknya, 18 tahun kerana disyaki menipu berpuluh-puluh kedai makan di wilayah itu apabila keluar tanpa membayar bil menurut laporan Oddity Central.
Menurut siasatan, pasangan ayah dan anak tersebut telah menggunakan taktik yang sama selama tiga tahun dengan menyamar sebagai pelanggan biasa yang langsung tidak mempunyai wang tunai dan kad kredit yang tidak berfungsi.
Tampil dengan berpakaian kemas, pasangan tersebut biasanya akan memesan hidangan pembuka, hidangan utama, pencuci mulut, wain dan hidangan penghadaman dengan bil antara AS$88 dan AS$165.
Apabila bil datang, lelaki berusia 48 tahun itu akan memberikan kad kredit yang tidak berfungsi. Setelah gagal dicaj, dia akan menyuruh anaknya ke ATM berhampiran untuk cuba keluarkan wang tunai.
Anaknya akan pulang dengan tangan kosong dan lelaki berkenaan kelihatan malu, meminta maaf dan berjanji untuk membayar bil pada keesokan harinya, dengan meninggalkan kad pengenalan atau kad keselamatan sosialnya sebagai cagaran.
Dengan tindakan sedemikian yang dianggap sebagai tanda kepercayaan, pengusaha restoran jarang membantah dan percaya pada janji mereka.
Namun, mereka berdua tidak kembali selepas itu.
Sumber polis berkata bahawa lelaki itu akan membuat laporan bahawa kad pengenalan dan kad keselamatan sosialnya dicuri dan meminta kad yang baharu dan merancang untuk mencari mangsa penipuan makanan seterusnya.
Untuk ‘menipu’ lagi, pasangan berkenaan dilaporkan bahawa mereka menyelidik mangsa mereka secara menyeluruh dalam talian, menyasarkan hanya restoran yang digambarkan sebagai mesra pelanggan dan tidak akan pergi makan ke tempat yang sama dua kali.
Strategi berkenaan berjaya berpuluh-puluh kali sehinggalah Ogos tahun lalu apabila seorang pemilik restoran menyiarkan gambar kad pengenalan yang diberi oleh penipu di media sosial dan menceritakan dengan lengkap pengalaman restoran dengan mereka.
Hantarannya media sosialnya menjadi tular dan berpuluh-puluh peniaga restoran lain mendakwa telah menjadi mangsa taktik yang sama digunakan oleh pasangan yang sama. Akhirnya, seramai 43 pemilik restoran di sekitar Tulon memfailkan aduan kepada polis.
Berikutan penyiasatan berbulan-bulan, polis Perancis mengenal pasti dan menahan pasangan ayah dan anak lelaki itu, yang kedua-duanya mengaku menipu beberapa restoran dalam tempoh tiga tahun.
Anak lelakinya yang masih di bawah umur semasa terlibat dalam penipuan, mendakwa bahawa mereka kadang-kadang makan secara percuma dua atau tiga kali seminggu. Manakala ayahnya mengaku telah menipu kira-kira 100 kali antara Januari 2021 dan Ogos 2024.
Menurut polis, beberapa pemilik restoran pernah bercakap sesama sendiri mengenai penipuan itu, tetapi sama ada terlalu sibuk untuk membuat aduan atau kurang peduli dengan kerugian mereka. Itulah yang diharapkan oleh penipu apabila memilih restoran yang mesra sebagai mangsa. – Agensi
