Penyanyi Malaysia yang sentiasa mencuri tumpuan ramai, Shiha Zikir menyerlahkan keperibadiannya lebih mendalam menerusi single terbaharu berjudul Renjana yang dihasilkan sendiri berdasarkan kenangan bersama bapa tersayang, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.
Istimewanya, lagu penuh emosi itu hasil kerjasama Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia dengan sentuhan komposisi dibantu oleh rakan baiknya, Zimi Sofazr.
“Lagu ini tidak mudah, itu yang boleh saya katakan. Bukan apa, kisah yang disampaikan dalam lagu ini memang pengalaman saya sendiri.
“Ketika proses rakaman, saya banyak menangis sebab teringat arwah abah. Saya memang rapat dengan arwah,” katanya kepada Berita Harian Online.
Shiha berkata, hidupnya tidak sama seperti dahulu sejak arwah bapa meninggal dunia pada 2008. Ini kerana rasa rindu tidak pernah hilang, malah, semakin bertambah berat hingga hari ini.

Lebih sedih, katanya, lagu Renjana bukan sekadar muzik biasa, tetapi perjalanan lengkap kehidupannya bersama arwah yang disampaikan melalui muzik serta visual.
“Apa yang awda lihat dalam video muzik, itu semua kisah benar termasuk babak kecil seperti memancing ikan. Memang saya selalu pergi memancing dengan arwah dahulu.
“Selain itu, kalau awda perhatikan babak saya bertolak untuk pergi uji bakat program realiti, arwah ada hulurkan walkman untuk saya bawa ke Kuala Lumpur. Itu pun memang berlaku dan lebih sayu, arwah sanggup berhutang untuk membelikan walkman untuk saya selesa berlatih menyanyi.
“Namun, tiada rezeki, saya tak dapat masuk program realiti itu. Arwah tak sempat lihat saya sebagai penyanyi. Saya sertai program realiti Mentor arwah sudah tiada,” katanya.
Meskipun arwah bapa tak sempat melihatnya di kaca televisyen, lebih lagi, memenangi trofi di Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah MeleTop Era (AME) dan pelbagai lagi, Shiha tetap meneruskan perjuangan.
“Hingga hari ini, saya bawa semangat arwah sahaja. Saya lakukan ini demi arwah. Kalau arwah tak ada, maka tak wujudlah penyanyi bernama Shiha Zikir,” katanya dalam nada sebak.
Sebagai sebahagian kempen lagu Renjana, Shiha berkata, dia turut mengundang beberapa individu untuk berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang dalam video temu bual.
“Saya buat sesi perkongsian dengan kenalan dan pengikut yang sudi berkongsi kisah hidup mereka. Ternyata, kami saling memahami dan tersentuh hati hingga kerap mengalirkan air mata.
“Insya-Allah, video temu bual akan dimuat naik di saluran YouTube dan media sosial Shiha Zikir Empire (SZE), tidak lama lagi,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Shiha turut berkongsi pesanan menyentuh hati mengenai ibu bapa.
“Saya ingin berpesan, hargailah ibu bapa yang masih ada. Jadilah, anak yang berbakti sepenuh hati. Bukan apa, kalau mereka sudah tiada, rasa itu sangatlah sakit hingga sukar diungkap dengan kata-kata,” katanya. – Agensi