Ayah gesa Australia bawa pulang Assange

SYDNEY, 14 April – Ayah kepada pengasas WikiLeaks, Julian Assange hari ini menggesa Australia membawa anak lelakinya pulang ke tanah air, dengan mengatakan dia terkejut melihat keadaan anak lelakinya selepas penahanannya di London minggu lalu.

John Shipton, yang menjadi setiausaha Parti Wikileaks apabila anak lelakinya cuba bertanding bagi kerusi senat dalam pilihan raya kebangsaan 2013, dilaporkan mengunjungi Assange setiap Krismas di kedutaan Ecuador di London selepas dia meminta perlindungan di situ pada tahun 2012.

“Jabatan Hal Ehwal Luar (DFAT) dan perdana menteri seharusnya melakukan sesuatu dalam cara berbeza,” Shipton memberitahu Sunday Herald Sun, Melbourne.

“Ia boleh diselesaikan untuk memuaskan hati semua. Beberapa rundingan diadakan dalam pertemuan antara seorang senator dan pegawai kanan DFAT untuk menyerahkan Julian balik ke Australia.”

Shipton berkata dia terkejut melihat keadaan anak lelakinya apabila dia ditahan di kedutaan Khamis lalu atas dakwaan melangkaui ikat jamin dan atas waran ekstradisi AS berkaitan pembocoran besar dokumen rasmi.

“Saya telah melihatnya, cara mereka (polis) menyeretnya menuruni anak tangga, keadaannya nampak tidak baik. Saya berusia 74 tahun dan saya nampak lebih baik daripada dia dan dia berusia 47 tahun. Ia amat mengejutkan,” ujarnya.

“Selama berbulan-bulan dia menjalani kehidupan seperti banduan dikawal ketat, dia malah tidak boleh pergi ke tandas. Setiap pergerakannya diperhatikan melalui kamera.”

Perdana Menteri Australia Scott Morrison Jumaat lalu berkata Assange ‘tidak akan menerima layanan istimewa’ dari Canberra.

Warga Australia berusia 47 tahun itu telah memohon perlindungan di kedutaan itu ketika diikat jamin sementara menanti diserahkan ke Sweden untuk berdepan dakwaan serangan seksual dan rogol, yang sentiasa dinafikannya. – AFP